Keharmonian kaum kukuhkan keselamatan negara

Keharmonian kaum kukuhkan keselamatan negara

am@hmetro.com.my

Selayang: Keharmonian antara kaum dan pelbagai lapisan masyarakat elemen utama dalam mengekalkan kedaulatan dan keselamatan negara.

Justeru Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (MINDEF), Datuk Lokman Hakim Ali berkata, Program Kampung Angkat Madani merupakan inisiatif penting bukan sahaja meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar malah akan memantapkan keharmonian masyarakat.

Menurutnya, MINDEF memperuntukkan RM 1 juta bagi pelbagai inisiatif pembangunan dan kemasyarakatan menerusi Program Kampung Angkat Madani di Batu Arang, di sini yang dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE).

“Menjaga kedaulatan dan keselamatan itu bukan terletak atau jatuhnya hanya di bawah tanggungjawab MINDEF sahaja, tetapi juga terletak kepada masyarakat.

“Jadi bila masyarakat memahami bahawa negara ini mempunyai asas yang baik, kesepakatan dan keharmonian itu juga akan membantu dalam mempertahankan negara,” katanya pada sidang media Program Semarak Rakyat Komuniti Madani, Kampung Angkat Madani di Dataran MPS Batu Arang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah STRIDE merangkap Pengarah Program Kampung Angkat Madani Batu Arang, Nor Azlan Mohd Ramli dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Azhar Samsuri.

Lokman Hakim berkata, inisiatif Kampung Angkat Madani menjadi pemangkin perpaduan antara kaum dan secara tak langsung meningkatkan keharmonian antara semua lapisan masyarakat.

“Jika kita lihat bahawa kerjasama yang erat ini meningkatkan lagi keharmonian, kesepaduan dan kesepakatan masyarakat.

“Di pihak kementerian, ini merupakan satu usaha yang dilaksanakan supaya kita pastikan bahawa masyarakat di sini mempunyai kemudahan asas yang baik dan sempurna.

“Kita pastikan mereka mempunyai infrastruktur yang baik dan sempurna dan dapat digunakan bersama, selaras pendekatan Whole of Government, Whole of Society (WoGoS),” katanya.

Katanya, pelbagai persembahan yang dipersembahkan secara bersama oleh pelajar dari sekolah kebangsaan termasuk sekolah jenis kebangsaan menunjukkan kepelbagaian kaum di kawasan itu.

Bagaimanapun katanya, kerjasama erat penduduk setempat daripada pelbagai kaum dan latar belakang bagi menjayakan Program Semarak Rakyat membuktikan keharmonian dalam masyarakat berbilang bangsa.

Mengulas mengenai peruntukan Kampung Angkat Madani beliau berkata penambahbaikan dilaksanakan STRIDE memberi tumpuan kepada kemudahan awam seperti tempat ibadat, taman, dewan orang ramai dan sebagainya.

“Kalau kita lihat di kawasan padang bola ini (lokasi majlis) , kita lihat bahawa naik taraf dari segi tempat duduk penonton, lepas itu jogging track dan juga ada taman permainan kanak-kanak yang mana masyarakat dapat gunakan kemudahan-kemudahan ini bersama.

“Jadi ini adalah bertujuan supaya keadaan yang lebih selesa untuk masyarakat bersama-sama dapat meningkatkan kesepakatan, melaksanakan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.

“Saya fikir bahawa kita lihat banyak lagi boleh dilaksanakan dan sekiranya inisiatif ini diteruskan pada tahun 2026, saya pasti STRIDE akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top