Kuala Lumpur : Pelakon dan penyanyi, Nonny Nadirah yang sebelum ini sering mencetus sensasi selepas memuatkan naik pelbagai kandungan mencetus sensitiviti sekali lagi menjadi perhatian umum.
Kali ini Nonny yang juga bekas peserta program realiti nyanyian Akademi Fantasia musim kelima (AF5) mendakwa kehidupannya berubah mendadak selepas hilang sumber pendapatan termasuk perniagaan dalam talian yang diusahakan sejak sekian lama.
Dalam perkongsian di Tik Tok Nonny atau nama sebenarnya Nonny Nadirah Zainuddin, 36, menjelaskan situasi itu menyebabkan dia berdepan kesulitan hingga terpaksa memohon bantuan orang ramai bagi meneruskan kelangsungan hidup.
“Saya kehilangan segalanya dan sukar untuk saya jelaskan apa sebenarnya berlaku.
“Pada tahun 2003, saya memulakan perniagaan dengan modal hanya RM200. Ketika itu saya bukan bergerak sebagai penyanyi atau pelakon, sebaliknya sekadar bekerja dari rumah,” katanya menerusi klip video terbabit.
Tambah pelakon Budak Intern itu, kehidupan yang dibina sejak sekian lama mula berubah selepas pendiriannya menyatakan sokongan terhadap Palestin sekali gus memberi kesan besar terhadap kerjaya dan sumber rezekinya.
“Saya masih bekerja tetapi selepas saya menyatakan sokongan terhadap Palestin, semua perkara seperti disekat. Kehidupan dan kerjaya saya seolah-olah runtuh sekelip mata.
“Jadi sekarang saya cuba mengutip dana kerana itu sahaja cara yang ada untuk menampung kehidupan harian,” luahnya.
Perkongsian berkenaan mengundang pelbagai respon dalam media sosial dengan rata-ratanya memberikan kata-kata semangat selain mendoakan agar Nonny kembali bangkit selepas melalui fasa sukar dalam hidupnya.
Bagaimanapun, terdapat segelintir pihak mempertikaikan kenyataan itu selain meminta penjelasan lanjut mengenai situasi sebenar dihadapi pelakon terbabit.
Harian Metro cuba mendapatkan penjelasan Nonny namun belum berhasil.
© New Straits Times Press (M) Bhd




