Kehilangan Jaslinda: Pasukan SAR jumpa tapak kaki, botol air, bungkusan 'jajan'

Kehilangan Jaslinda: Pasukan SAR jumpa tapak kaki, botol air, bungkusan 'jajan'

am@hmetro.co

Tapah: Penemuan botol air, bungkusan makanan ringan dan tapak kaki menjadi petunjuk baharu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki, Jaslinda Saludin yang hilang di Gunung Batu Putih di sini pada 23 Mei lalu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, jejak itu ditemui di laluan Kem Sukaneka menuju Gunung Rayu semalam (Selasa) oleh pasukan penyelamat JBPM.

“Info penemuan ini daripada pasukan penyelamat semalam, namun baru dapat dikongsikan hari ini selepas keluar (dari hutan),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Sabarodzi, misi menyelamat wanita berusia 49 tahun itu diteruskan pagi tadi dengan penghantaran pasukan baharu seramai lapan orang ke Bukit Berapit 2, yang menggunakan pesawat AW139 bermula 9.15 pagi.

Katanya, mereka menggantikan pasukan sebelum ini yang membabitkan anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dan Malim Gunung Perhutanan (MGP).

“Pasukan lima anggota STORM dan MGP di Bukit Berapit 2 malam tadi menghadapi kesukaran akibat hujan lebat dan angin kuat, namun kesemua mereka selamat keluar ke Kuala Woh pada 4 pagi tadi.

“Tiga lagi anggota STORM keluar dari hutan pada 9.30 pagi menggunakan pesawat AW139 dan diturunkan di Pos Kawalan Hadapan (PKH).

“Secara keseluruhan seramai lapan anggota STORM dan satu anggota MGP daripada pasukan penyelamat pertama yang masuk ke Gunung Batu Putih pada 25 Mei sudah selamat keluar,” katanya.

Sabarodzi berkata, setakat 6 petang, pasukan SAR kedua yang memasuki kawasan operasi hari ini sudah sampai ke kawasan Kem Sukaneka secara berjalan menyusuri permatang gunung selama

lima jam.

Katanya, pencarian oleh pasukan itu memfokuskan bermula simpang menuju Kem Sekali iaitu lokasi antara Kem Sukaneka dan Gunung Rayu, berdasarkan maklumat semasa dan garis masa perjalanan mangsa dan pasukan penyelamat sebelum ini.

Beliau turut memaklumkan pasukan penyelamat yangmenangguhkan operasi 6 petang tadi akan bermalam di puncak gunung dan menyambung semula SAR pada 8 pagi esok.

“Operasi pencarian turut digerakkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan keanggotaan yang lebih ramai,” katanya.

Terdahulu, Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua MGP memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei lalu menerusi laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Beliau dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti. Bagaimanapun, Jaslinda dilapor kemudiannya meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada 7.30 pagi Ahad lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top