am@hmetro.com.my
Kuantan: Polis mengesahkan kehilangan remaja perempuan berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang pada 15 Julai dan ditemui selamat Isnin lalu, tiada kaitan dengan kes penculikan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata sebaliknya, siasatan awal mendapati ia lebih kepada Nur Aina Faqihah Sharizan yang bertindak melarikan diri dari rumah.
Katanya, ini kerana sebelum ini pelajar tingkatan lima di Bentong itu pernah dua kali melarikan diri sejak dua tahun lalu tetapi pulang ke rumah selepas itu.
“Bagaimanapun, kehilangan kali ketiga pada 15 Julai lalu, Nur Aina Faqihah tidak pulang dalam tempoh lama. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan.
“Polis sudah menyerahkan Nur Aina Faqihah kepada keluarganya. Keadaan dia baik dan sihat tetapi belum melengkapkan siasatan kerana dia masih dalam keadaan trauma.
“Pemeriksaan kesihatan awal mendapati tiada sebarang kecederaan yang dialami Nur Aina Faqihah termasuk tiada kes jenayah. Kita mengesahkan bukan kes penculikan tetapi lebih kepada melarikan diri,” katanya selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Penyerahan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Ketua Jabatan dan Ketua Polis Daerah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini hari ini.
Isnin lalu, Nur Aina Faqihah dari Bentong ditemukan selamat di stesen bas di Triang, Bera kira-kira jam 2.30 petang.
Ditanya kes kehilangan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU), Rosdan Mat, 52 tahun dari Kampung Redan, Mela di Lipis, Yahaya berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan tetapi berskala kecil.
“Setakat ini, tiada sebarang maklumat berkaitan Rosdan yang hilang sejak 28 Jun lalu,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, berdasarkan statistik Januari hingga hari ini, sebanyak 27 kes laporan orang hilang .
“Daripada jumlah itu, 17 kes orang hilang selesai manakala 10 kes dalam siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




