Kehilangan Nur Khalisya tiada unsur jenayah – Polis

Kehilangan Nur Khalisya tiada unsur jenayah – Polis

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kehilangan remaja perempuan, Nur Khalisya sejak 11 hari lalu dan sudah ditemukan selamat, hari ini tidak membabitkan sebarang unsur jenayah.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, remaja berusia 16 tahun itu ditemui di sebuah rumah di Seremban, Negeri Sembilan pada 3.30 pagi, hari ini.

Menurutnya, remaja berkenaan ditemui sedang tidur dalam keadaan baik dan selamat sebelum dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk diserahkan kepada keluarganya.

“Kehilangan remaja itu tidak membabitkan apa-apa unsur jenayah dan remaja itu juga sudah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan kesihatan dan doktor mengesahkannya dalam keadaan sihat tanpa sebarang kecederaan fizikal.

“Remaja itu sudah dibenarkan pulang dan diserahkan kepada keluarga angkat yang berdaftar dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Media hari ini melaporkan, remaja perempuan, Nur Khalisya yang dilaporkan hilang sejak 11 hari lalu ditemui selamat di rumah keluarga angkatnya di Seremban.

Terdahulu, media melaporkan Khalisya yang juga adik kepada bekas penyerang Harimau Malaya, Hadin Azman dilaporkan hilang sebaik pulang dari sekolahnya di Jalan Peel, di sini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top