SHAH ALAM – Kehilangan pasangan selepas hidup bersama dalam tempoh yang sangat panjang bukan sekadar meninggalkan kesedihan, malah boleh mengubah rutin, emosi dan arah dalam kehidupan individu yang ditinggalkan.Pensyarah Kanan Program Kaunseling Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Nurhafizah Mohd Sukor berkata, keadaan itu berlaku apabila kehadiran pasangan yang sekian lama menjadi sebahagian daripada kehidupan tiba-tiba tiada, sekali gus memerlukan masa untuk seseorang menyesuaikan diri dengan realiti baharu.Menurutnya, individu yang kehilangan pasangan selepas puluhan tahun bersama lazimnya berdepan perasaan kehilangan, terpinga-pinga dan rindu kerana pemikiran masih terarah kepada insan yang telah tiada.”Bergantung kepada tahap umur seseorang, pemikiran individu yang baru kehilangan insan tersayang juga akan mudah terganggu dan kurang fokus terhadap sesuatu perkara kerana pemikiran banyak terarah mencari insan yang telah tiada.”Ini mencetuskan rasa kosong dan hilang arah. Prestasi memori dan perhatian juga akan menurun sekiranya emosi seseorang masih terbeban dengan kehilangan pasangan tersayang,” katanya kepada Sinar Harian.Beliau berkata demikian sebagai mengulas pemergian Tun Dr Hasmah Mohd Ali baru-baru ini.Allahyarham mendirikan rumah tangga dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini telah mencecah 70 tahun selepas hubungan mereka berputik ketika bertemu di Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura pada 1947.Mengulas lanjut, Nurhafizah berkata, keadaan fizikal juga perlu diberikan perhatian kerana perasaan rindu dan kesedihan mendalam boleh menyebabkan hilang selera makan, tidak bermaya dan mengalami kelesuan.Menurutnya, emosi negatif juga boleh mengganggu corak tidur dan seterusnya menjejaskan keadaan fizikal seseorang.”Penjagaan fizikal amat penting agar tidak terdedah kepada risiko penyakit fizikal yang lain seperti sakit jantung atau tekanan darah tinggi.”Tanpa sokongan emosi dan sosial daripada ahli keluarga yang lain, perasaan murung dan kesedihan mendalam akan dirasai. Rasa sunyi dan terasing juga boleh timbul akibat perubahan rutin hidup,” katanya.Dalam pada itu, beliau berkata, individu yang kehilangan pasangan selepas puluhan tahun bersama masih boleh mengekalkan makna hubungan tersebut dalam kehidupan tanpa terperangkap dalam kesedihan masa lalu.Menurutnya, pendekatan active coping process atau proses daya tindak aktif boleh diamalkan dengan menerima kehilangan seseorang sebagai suatu proses kehidupan yang akan dilalui oleh semua orang.”Seseorang perlu meluahkan perasaan yang dialami dengan lebih terbuka dan bukan memendam atau menidakkan perasaan tersebut.”Dalam keadaan Tun, ahli keluarga terdekat dan orang sekeliling berperanan mewujudkan suasana yang adaptif dan bermakna dengan masih menceritakan tentang insan yang telah tiada secara terbuka dan reda dengan ketiadaannya.”Masih ada interaksi dan penceritaan tentang insan yang telah tiada dalam usaha untuk memahami, menerima dan menyesuaikan diri dengan kehilangan,” katanya.Beliau berkata, daya tindak aktif itu bukan bertujuan menidakkan ketiadaan insan tersayang, sebaliknya membantu menghadirkan memori dan segala kisah manis bersama individu berkenaan dengan lebih bermakna dalam kehidupan tanpa terperangkap dalam kesedihan mendalam.”Doa, sokongan keluarga dan rakan-rakan, meneruskan terapi serta aktiviti menulis, membaca serta kreatif yang Tun jalani selama ini boleh membantu proses menghadapi kehilangan,” kata beliau.



