Kehilangan yang sukar – Fahrin

Kehilangan yang sukar – Fahrin

Kuala Lumpur: “Satu lagi kehilangan yang saya tak mampu gambarkan perasaannya. Seakan kuat pada zahirnya tapi hati saya terlalu rapuh dan hanya Tuhan yang mengetahui.”

Demikian luahan penuh emosi pelakon dan pengacara, Fahrin Ahmad yang berkongsi khabar duka mengenai pemergian bapanya, Allahyarham Ahmad Atil, yang meninggal dunia, kelmarin.

Menerusi perkongsian di Instagram, Fahrin berpeluang memandikan jenazah ayahnya dan turut bersama masuk ke dalam liang lahad untuk pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Bukit Mahkota, Bangi, Selangor.

“Alhamdulillah, selesai pengebumian Allahyarham ayahanda Ahmad Atil di Tanah Perkuburan Islam Bukit Mahkota.

“Saya dan keluarga ingin merakamkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang membantu urusan, yang hadir, semua ucapan takziah dan doa yang terlalu banyak di semua platform untuk saya balas satu persatu. Saya amat hargai kesemuanya,” katanya.

Menerusi perkongsian itu juga, Fahrin turut kesempatan untuk mengimamkan solat jenazah arwah bapanya yang disifatkan sebagai satu penghormatan besar dan momen yang amat menyentuh hati.

Mengakhiri perkongsiannya, Fahrin memohon orang ramai turut menitipkan doa buat arwah bapanya agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“Ya Allah, ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kematiannya. Lapangkanlah kuburnya. Jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya, Amin,” katanya.

Jumaat lalu, Fahrin memaklumkan mendapat perkhabaran duka bapanya meninggal dunia ketika sedang menghadiri sebuah acara di Pasir Gudang, Johor.

Dia kemudian meninggalkan acara berkenaan untuk bergegas pulang ke Kuala Lumpur.

Fahrin bagaimanapun tidak memaklumkan punca kematian bapanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top