am@hmetro.com.my
Yan: “Ini kejadian ketiga rumah kami dilanda ribut tetapi kali ini paling teruk hinggakan sebahagian atap zink di ruang tengah rumah tercabut.
“Alang kayu juga berkecai dan rosak tetapi mujurlah ketika kejadian tidak hujan, jika tidak mungkin barangan dalam rumah lebih banyak rosak,” kata Najmuddin Ahmad, 39.
Najmuddin berkata, dia baru saja membaiki atap zink rumah yang rosak akibat ribut yang melanda pada Februari lalu dan kali ini diberi ujian sekali lagi apabila terpaksa membaiki kali ketiga yang jumlahnya lebih besar.
Katanya, ketika kali pertama rumahnya dilanda ribut tahun lalu, dia berhabis wang sekitar RM900 untuk membaiki atap zink yang rosak manakala pada kejadian kedua, dia menghabiskan wang sekitar RM600.
“Kali ini kerosakan yang dialami agak teruk dan saya menjangkakan mungkin kos membaiki kerosakan yang dialami sekitar RM7,000. Itu cuma anggaran saja.
“Ketika kejadian jam 8 malam tadi, saya tiada di rumah kerana pergi menziarahi rakan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani.
“Saya hanya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi isteri dan dia menunjukkan video angin kencang serta kerosakan yang dialami rumah kami menyebabkan saya terus bergegas pulang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Choras Dalam, di sini hari ini.
Sementara itu isterinya, Ili Bazliyana Osman, 35, berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang memasak di dapur manakala lima anak berada di ruang tengah rumah.
Katanya, dia terdengar angin yang sangat kuat dan menghubungi suaminya untuk memaklumkan apa yang berlaku.
“Saya tarik anak bongsu, Muhammad Adib Najmuddin, 4, ke bahagian depan rumah sebaik terdengar bunyi angin kencang yang mengangkat atap zink rumah kami.
“Tidak lama kemudian saya nampak atap zink di ruang tengah tercabut manakala di bahagian luar pula sudah diterbangkan angin,” katanya.
Ili Bazliyana berkata, sepanjang tinggal di rumah pusaka itu, belum pernah dia melihat angin kencang yang sangat kuat seperti malam tadi.
Katanya, bagaimanapun dia bersyukur kerana lima anaknya yang berusia empat hingga 15 tahun selamat dalam kejadian itu.
Jiran mereka, Omai Kalsum Musa, 76, pula berkata, ketika kejadian dia sedang menonton berita di televisyen sebelum terdengar bunyi kuat di bahagian bumbung rumah seperti puting beliung.
Katanya, anak perempuannya yang sedang berpantang selepas keguguran anak kedua berada dalam bilik rumah itu manakala anak lelakinya berada di ruang tamu.
“Anak lelaki mengalami masalah buah pinggang dan bercadang nak buat dialisis di rumah tetapi tak jadi. Dia pun melaungkan azan kerana takut apabila terdengar bunyi angin yang sangat kuat.
“Tak lama kemudian angin pun reda. Sebelum ini tak pernah saya dengar bunyi kuat angin kencang seperti itu tetapi syukurlah semuanya selamat,” katanya.
Omai berkata, beberapa keping zink ruang stor dan bahagian tepi rumahnya diterbangkan angin sehingga ke atas jalan.
Dalam pada itu, jumlah kediaman yang terjejas di negeri ini akibat kejadian ribut dan angin kencang malam tadi meningkat kepada 129 rumah di enam daerah iaitu di Kota Setar, Padang Terap, Kuala Muda, Yan, Pendang dan Sik setakat jam 3.30 petang ini.
Bagaimanapun, anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah masih melakukan pemantauan di daerah yang terjejas untuk mendapatkan jumlah keseluruhan rumah terjejas selain kes pokok tumbang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




