Washington: Pemilik sebuah rumah pengurusan bangkai haiwan peliharaan di Amerika Syarikat (AS) didakwa menipu ribuan pelanggan dengan membuang haiwan mereka ke tapak pelupusan sampah atau menyerahkan abu haiwan lain kepada pemilik asal.
Pihak berkuasa memaklumkan Patrick Roy Vereb, 70, yang mengusahakan Vereb Funeral Home and Eternity Pet Memorial di Pittsburgh, Pennsylvania berdepan tuduhan melakukan amalan perniagaan mengelirukan dan menipu.
Pendakwa raya Pennsylvania pada Isnin berkata, pertuduhan itu selepas Vereb gagal menyediakan semua perkhidmatan dijanjikan dan tidak mengembalikan abu haiwan peliharaan kepada pemilik yang sah.
Pendakwa raya negeri, Dave Sunday Jr memaklumkan, tingkah laku menjijikkan Vereb dalam mengurus kematian ribuan haiwan mendorong pihaknya menyiarkan maklumat khas di halaman utama portal Pejabat Peguam Negara untuk mengesan kemungkinan terdapat mangsa lain.
“Saya tahu ini menyedihkan untuk didengar, tetapi saya rasa penting untuk memaklumkan kepada masyarakat dan ribuan mangsa antara 2021 hingga 2024.
“Vereb mengabaikan tanggungjawabnya dengan sengaja dan berulang kali mengkhianati pelanggan yang mahu perkhidmatan persemadian bermaruah untuk kucing serta anjing kesayangan mereka,” katanya yang dilapor NBC News.
Pihak pendakwaan memaklumkan sudah mengenal pasti lebih 6,500 mangsa.
“Daripada mengebumikan dengan sempurna, pembakaran dan mengembalikan abu kepada pemilik, dia sebaliknya membuang ribuan bangkai haiwan di tapak pelupusan sampah.
“Ribuan pelanggan membayarnya untuk perkhidmatan yang sempurna dan sama sekali tidak menyangka menerima abu haiwan lain,” kata pendakwa raya.
Kegiatan itu terbongkar selepas pekerja Vereb meragui amalan perniagaannya sejak akhir Julai tahun lalu, terutama apabila menerima sejumlah besar haiwan peliharaan, berbanding yang disemadikan.
Dokumen mahkamah menyatakan Vereb mengaku memberi abu haiwan lain kepada pelanggannya jika tiada abu haiwan peliharaan tertentu “untuk membuat mereka rasa tenang.”
Dia juga mengaku menggunakan lebihan abu daripada haiwan lain dan membuatkan seolah-olah itu abu haiwan peliharaan yang tidak dibakar.
Ada kalanya pelanggan meminta haiwan peliharaan mereka dikebumikan dalam kubur bersama haiwan lain, tetapi haiwan peliharaan itu biasanya dibuang dalam tong sampah, menurut pengadu.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes itu pada 9 Mei.
© New Straits Times Press (M) Bhd