Kejar keberkatan rezeki Ramadan

Bulan Ramadan adalah bulan yang penuh berkat. Ia membuka ruang rezki yang luas kepada para peniaga dan menawarkan pelbagai pilihan kepada para pengguna. Hampir setiap sektor perniagaan menerima limpahan keberkatan bulan Ramadan, sama ada perniagaan tekstil dan pakaian, hiasan dan perkasasan rumah, kuih muih, lauk pauk serta berbagai jenis makanan. Kehadiran Ramadan ibarat sebuah festival. Di samping menekuni ibadat puasa di siang hari, ibadat terawih di malam hari, Ramadan hadir bersama festival makanan. Banyak jenis makanan yang hanya dijual pada bulan Ramadan sahaja. Sejajar dengan itu juga, banyak lokasi kedai sementara atau bazar ramadan yang dibuka sepanjang bulan puasa. Pastinya ia menawarkan pilihan makanan dan minuman kepada pengguna.

Namun begitu, saban tahun isu yang melibatkan makanan terus berputar, di antaranya kualiti makanan yang semakin rendah, kuantiti atau kandungan bahan yang semakin kurang, dan harga yang semakin mahal. Dalam isu berkaitan kualiti makanan, pengguna sering melaporkan makanan yang dibeli tidak menepati selera atau tidak sedap, inti yang kosong seperti karipap oksigen dan bombalani oksigen, makanan yang telah basi apabila waktu berbuka puasa kerana disediakan terlalu awal. Selain itu, terdapat juga pengguna yang mengalami cirit birit akibat memakan makanan yang di beli di bazar Ramadan.

Apa yang menjadi isu adalah terdapat penjual yang bersifat tamak dengan mengurangkan kuantiti dan kualiti makanan tetapi menaikkan harga makanan. Harga yang dibayar tidak setimpal dengan makanan yang diperolehi oleh pengguna. Tetapi jika kuantiti dan kualiti makanan yang ditawarkan setanding dengan harga yang dibayar, para pengguna tidak akan mempersoalkannya.

Apa yang lebih parah lagi jika terdapat golongan “peniaga segera” yang tiada kemahiran dalam menyediakan makanan turut mengambil kesempatan untuk berniaga di bulan Ramadan. Hasilnya, makanan yang dihasilkan tidak menepati selera pengguna dan tidak mendapat sambutan. Situasi ini boleh mengundang kecaman dan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengguna. Sedangkan mereka mengharapkan kualiti dan kuantiti yang setanding dengan harga yang telah dibayar.

Selain itu, dalam meraih keberkatan dalam mencari rezki juga, para penjual perlu menjaga prinsip halalan tayyiban dalam pengendalian makanan yang dijual kepada pengguna di bazar Ramadan. Ia bermula dari pemerolehan bahan mentah yang halal, proses penyediaan yang toyyib dan sehinggalah sampai ke tangan pembeli. Justeru, para penyedia dan penjual perlu menitikberatkan aspek halal, bersih dan suci setiap makanan yang dijual kepada pengguna. Apatah lagi makanan yang dijual itu akan dinikmati oleh orang yang berpuasa.

Tegasnya, jual beli yang melibatkan penipuan dalam kualiti dan kuantiti makanan ini adalah dilarang dalam Islam kerana ia boleh menimbulkan ketidakpuasan hati para pembeli. Umpamanya, kuih yang nampak kembung berinti tetapi hanya ruang kosong, atau makanan yang dimasak berulangkali kerana tidak habis. Dalam surah  al-Mutaffifin, ayat 1, Allah SWT telah berfirman: Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). Berdasarkan ayat tersebut, Allah SWT dengan jelas telah mengecam orang atau penjual yang menipu dalam timbangan dan sukatan.

Di samping itu, dalam hadis yang diriwayat oleh Rifa’ah RA: Suatu ketika dia keluar bersama Nabi SAW ke tempat solat lalu Baginda ternampak orang ramai sedang berjual beli. Baginda bersabda: Wahai para peniaga! Mereka menyahut seruan Nabi SAW itu sambil berpaling ke arah Baginda. Nabi SAW bersabda: Pada hari kiamat kelak para peniaga akan dibangkitkan sebagai orang-orang yang jahat kecuali orang yang takutkan Allah, berbuat baik dan jujur. (HR al-Tirmizi, no. hadis: 1210). Berdasarkan hadis Nabi SAW, jelas bahawa mereka yang berbuat curang dan menipu pembeli akan termasuk dalam kelompok orang yang jahat di hari akhirat kelak, sedangkan penjual yang jujur dan amanah akan berada dalam kelompok orang yang baik.

Sehubungan dengan itu, dalam mencari rezki di bulan Ramadan, para peniaga atau penjual menjaga batasan yang dilarang Islam seperti tidak tamak dalam mengaut keuntungan, tidak menipu dalam kualiti dan kuantiti makanan, timbangan atau sukatan, di samping mengambil berat prinsip halalan tayyiban dalam makanan yang dijual. Ini kerana ia akan mengundang keberkatan dalam rezki yang diterima. Keberkatan ini penting kerana kita akan merasa cukup dengan rezki yang Allah berikan. Berapa ramai orang yang berjualan dan laris jualannya tetapi mereka sering rasa tidak cukup dengan rezki yang diterima. Ibaratnya, mereka sering rasa dahaga walaupun telah berulang kali minum air. Berbanding orang yang jualannya laris dan dia merasa cukup dengan rezki yang Allah kurniakan. Keberkatan ini akan melimpah dalam membentuk suasana tenang dan memperolehi kebahagiaan dalam rumahtangga. Justeru itu, bersikap jujurlah dan ihsanlah dalam berjual beli dan jangan bersikap tamak dan menipu para pembeli bagi meraih keberkatan hidup.

 

Oleh
Prof. Madya Dr. Mohd. Anuar Ramli
Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya
Email: mohdanuar@um.edu.my

Scroll to Top