Kuala Lumpur: Kejayaan penganjuran Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan membuktikan bahawa blok serantau itu dihormati serta terus mendapat kepercayaan kuasa besar dunia.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ASEAN juga semakin disegani sebagai rantau yang aman dan mempunyai pertumbuhan ekonomi amat baik.
“Selain itu, banyak negara beratur dan menunggu nak tandatangan TAC (Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara) kerana itu adalah langkah pertama untuk mereka menjadi rakan kepada ASEAN.
“Daripada dulu kita (hanya dianggotai) lima negara, sekarang dah jadi 10, dan bulan Oktober akan jadi 11 negara (dengan kemasukan Timor-Leste). Semakin banyak negara kini mohon nak jadi rakan sektoral dan rakan dialog ASEAN,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata meskipun ASEAN kini mempunyai tempoh moratorium bagi mengambil rakan dialog baharu, beliau menegaskan blok serantau itu tidak akan terlalu rigid mengenainya.
“Ada satu dua yang perlu dipertimbangkan dan kalau kita terima sesebuah negara tersebut menjadi rakan dialog, ia akan memberi banyak tambah nilai kepada ASEAN, jadi kita lihat keperluan itu,” katanya.
Sementara itu, mengenai kejayaan penganjuran AMM, Mohamad berkata terdapat 21 mesyuarat membabitkan ASEAN dan rakan strategiknya selain Persidangan Keempat Kerjasama antara Negara-Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD IV) telah diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.
“Secara berasingan, saya telah mengadakan 15 mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat saya dari Algeria, Australia, Bangladesh, Brunei, Kanada, China, Jepun, New Zealand, Palestin, Filipina, Switzerland, Turkiye, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Uruguay.
“Semasa semua mesyuarat itu, kami membincangkan pengukuhan hubungan dua hala dan isu antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai penyertaan Timor-Leste sebagai negara anggota ASEAN yang ke-11, Mohamad berkata Menteri-Menteri Luar blok serantau itu mengambil maklum mengenai kerja-kerja berkaitan prosedur sedang dijalankan.
“AMM turut menerima pakai Garis Panduan bagi Memudahkan Penyertaan Timor-Leste ke dalam Instrumen Undang-Undang ASEAN di bawah bidang kuasa AMM.
“AMM juga menggalakkan Timor-Leste agar mengambil tindakan bagi menyertai instrumen perundangan yang berkaitan secepat mungkin,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd