Melaka: Kejayaan dua guru memenangi anugerah pada Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2025 di Kuching, Sarawak pada minggu lepas menjadi pemangkin kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka untuk memperkasa bidang berkenaan.
Pengarah JPN Melaka Mahfudzah Mohamed Noor berkata, dua guru itu ialah Dr Mohd Fairuz Jaafar dari Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd Zin yang menerima tempat pertama Anugerah Ikon Guru Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Muhammad Nasrul Abu Bakar dari Sekolah Kebangsaan Merlimau yang mendapat tempat ketiga Anugerah Ikon Guru Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Beliau berkata, JPN Melaka sentiasa bersedia untuk berkolaborasi dengan rakan strategik bagi memperkasa bidang STEM dan TVET dalam kalangan pelajar serta warga pendidik di negeri berkenaan.
“Terdapat keperluan untuk kita meningkatkan pendedahan teknologi bagi memastikan anak-anak murid kita belajar bermula dari dalam bilik darjah sehinggalah di luar bilik darjah, dengan aspek teknologi, teknikal dan STEM digabungkan untuk mereka lebih kreatif dan berpandangan jauh.
“Kita juga melihat subjek Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) yang diperkenalkan kepada pelajar Tingkatan Empat masih diteruskan dan pelajar yang mengambil subjek itu juga semakin meningkat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Robotik RFS Technology Sdn Bhd yang turut dihadiri Pengarah Urusan Korporat Kumpulan RFS Technology Sdn Bhd Zahir Yousoff.
Mahfudzah berkata, inisiatif itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada warga pendidik berkaitan bidang berkenaan agar mereka dapat meningkatkan ilmu serta kemahiran dan mengaplikasikannya dalam sesi pengajaran dan pembelajaran dalam kelas, sekali gus menarik minat lebih ramai pelajar dalam bidang itu.
Sementara itu, Zahir berkata, RFS Technology Sdn Bhd menyediakan latihan berkaitan teknologi robotik secara percuma kepada pelajar dan guru di semua sekolah di Melaka yang berminat untuk meneroka atau mengetahui secara lebih jelas berkaitan bidang berkenaan.
Beliau berkata latihan itu akan dijalankan di bengkel syarikat berkenaan yang terletak di Melaka Raya dengan bantuan tenaga pengajar mahir dalam bidang robotik.
“Kita lebih tertumpu pada pengembangan robotik terutama dari segi pengaturcaraan dan kejuruteraan bagi penghasilan sesuatu produk… Guru dan murid boleh menghasilkan produk mereka sendiri.
“Kita juga bersedia turun ke sekolah-sekolah bagi memberi latihan dan pendedahan kepada pelajar yang berminat kerana bidang teknologi robotik ini sangat luas serta mempunyai potensi yang besar pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata, syarikat itu juga bersedia menaja pelajar dan sekolah yang mempunyai potensi besar dalam bidang berkenaan ke Jepun untuk mengembangkan lagi pengetahuan serta kemahiran mereka.
Terdahulu, dua produk robotik dilancarkan iaitu ‘Sumo Car’ dan ‘Soccer Car’ menerapkan elemen tradisional, warisan dan budaya Malaysia untuk pembelajaran pelajar khususnya generasi muda.
“Sebagai contoh, produk ‘Soccer Car’ dihasilkan dengan mengetengahkan elemen wau bulan pada reka bentuk robotik berkenaan, sekali gus generasi muda dapat mengetahui tentang wau bulan yang juga satu permainan layang-layang tradisional masyarakat Melayu yang semakin dilupakan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




