Buenos Aires: Pelari Ethiopia, Yomif Kejelcha memecahkan rekod dunia separuh maraton lelaki selepas memenangi perlumbaan World Athletics Road Race di Buenos Aires, Argentina, semalam dengan catatan masa 56 minit 51 saat.
Pelari berusia 29 tahun itu sebelum ini memegang rekod dunia dengan catatan 57:30 yang dilakukan di Valencia pada Oktober 2024.
Bagaimanapun, rekod itu dirampas pelari Uganda, Jacob Kiplimo, pada Mac lalu selepas mencatat masa 57:20 di Lisbon.
Kejelcha kini merampas kembali rekod berkenaan dengan memperbaiki catatan Kiplimo sebanyak 29 saat, namun rekod itu masih tertakluk kepada pengesahan rasmi.
Pemenang pingat perak dunia acara 10,000 meter trek itu turut memegang rekod dunia bagi acara 10,000 meter jalan raya lelaki.
Kejelcha juga menjadi antara pelari lelaki terawal yang mencatat masa bawah dua jam dalam maraton dalam keadaan yang layak untuk rekod dunia pada awal tahun ini.
Dia menamatkan saingan di tempat kedua di belakang pelari Kenya, Sebastian Sawe, pada Maraton London.
Sawe memenangi perlumbaan bersejarah itu dengan catatan 1 jam 59 minit 30 saat, mengatasi Kejelcha dengan kelebihan hanya 11 saat.
© New Straits Times Press (M) Bhd

