JOHOR BAHRU: Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2022 yang dijadual berlangsung dari 10 hingga 13 Februari ini bakal menjadi medan buat negeri ini mencungkil bakat yang mampu membawa ‘semangat’ Johor di peringkat kebangsaan dan persiapan menjelang Sukan Malaysia (SUKMA).
Edisi ke-10 yang bakal diadakan di Dewan NS Sport, Gelang Patah itu akan mempertandingkan empat kategori iaitu bawah 21 tahun, bawah 16, bawah 14 dan bawah 12 tahun.
“Objektif penganjuran ini adalah mengumpul seberapa ramai pemain di negeri Johor untuk mereka beraksi secara kompetitif,” kata Presiden Persatuan Badminton Johor (JBA), Mat Rasid Jahlil dalam satu sidang media, hari ini.
“Kejohanan ini juga menjadi pentas buat kami menilai dan memilih pemain untuk mewakili negeri Johor ke peringkat kebangsaan.
“Selain itu, ini juga adalah salah satu persiapan untuk persatuan mendapatkan kelompok pemain berpotensi untuk mewakili Johor bagi temasya SUKMA memandangkan peserta masih lagi muda dan ada peluang untuk beraksi pada temasya itu nanti.”
Turut hadir pada majlis sidang media tersebut ialah Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Nor Syazlan Abd Razak serta Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR, Christopher Raj.
Sementara itu, Nor Syazlan memuji usaha JBA yang menganjurkan pertandingan ini bagi mencari lebih ramai bakat baharu dalam sukan badminton khususnya di negeri Johor.
“Sememangnya pertandingan ini sangat membantu pemain muda di sekitar negeri Johor untuk beraksi secara kompetitif.
“Saya juga percaya terdapat ramai pemain dari akar umbi yang sangat berbakat dan mereka perlu didedahkan kepada pertandingan kompetitif seperti ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




