Kejohanan Teqball Kebangsaan ditunda 29, 30 Mei

Kejohanan Teqball Kebangsaan ditunda 29, 30 Mei

bhsukan@bh.com.my

MELAKA: Kejohanan Teqball Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Masjid Tanah, dekat sini, pada 10 dan 11 April lalu kini ditunda kepada 29 dan 30 Mei ini.

Presiden Persatuan Teqball Melaka, Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah berkata lokasi kejohanan turut ditukarkan ke Kompleks Sukan Hang Jebat, berikutan venue asal digunakan bagi Program Imunisasi Kebangsaan.

Katanya, penangguhan kejohanan itu terpaksa dilakukan berikutan larangan merentas negeri susulan pandemik COVID-19 yang masih tidak menentu.

“Kami juga gembira kerana Melaka dipilih oleh Persatuan Teqball Kebangsaan untuk menjadi tuan rumah bagi sirkit satu dan dua selepas saingan yang sepatutnya berlangsung di Perlis pada 23 Mac turut ditangguhkan.

“Sehubungan itu, kami mengharapkan kejohanan yang diaturkan akan dapat dilangsungkan mengikut jadual dalam situasi pandemik yang lebih terkawal,” katanya.

Dr Siti Faidul berkata tiga kategori bakal dipertandingkan pada kejohanan kebangsaan iaitu perseorangan, beregu dan beregu campuran dengan membabitkan 16 pasukan.

Katanya, kejohanan berkenaan bakal menampilkan pemain terbaik negara termasuk Emilia Eva Natasha Saudia yang pernah menjalani latihan di Perancis selain Siti Asnidah Zamri dan Fauzan Azmi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top