Ramadan bukan sekadar bulan ibadah tetapi juga masa untuk menyemai kasih sayang dan semangat berkongsi rezeki.
Dalam usaha menyantuni mahasiswa, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan Program Jom Kejut Sahur bagi tahun kedua berturut-turut, membawa sentuhan prihatin kepada 700 pelajar Politeknik Banting dan Kolej Komuniti Kuala Langat.
Program ini berlangsung pada 13 Mac 2025 di pekarangan Kolej Kediaman, Politeknik Banting, bermula jam 9 malam.
Sebaik masuk jam 10 malam, pasukan sukarelawan PTPTN bersama pihak pengurusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turun padang mengagihkan pek makanan kepada pelajar, termasuk secara ‘door-to-door’ bagi memastikan tiada yang terlepas menikmati juadah sahur.
Pek makanan turut diagih secara ‘door to door’ kepada pelajar.
Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, program ini bukan sekadar inisiatif kebajikan, tetapi juga langkah merapatkan hubungan antara PTPTN dengan pelajar.
“Jom Kejut Sahur bukan hanya mengenai makanan, tetapi membawa mesej kebersamaan dan kepedulian.
“Kami mahu pelajar tahu bahawa mereka tidak keseorangan dan PTPTN sentiasa komited membantu mereka dalam pelbagai aspek,” katanya.
Sebanyak 400 pek makanan diagihkan kepada pelajar Politeknik Banting, manakala 300 lagi kepada pelajar Kolej Komuniti Kuala Langat.
Ahmad Dasuki (dua dari kanan) mengagihkan pek makanan kepada pelajar Politeknik Banting.
Program ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi melalui kehadiran Zaidi Othman, Pengarah Bahagian Instruksional dan Pembelajaran Digital (BI-PD), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), serta barisan kepimpinan KPT termasuk Ts Ibrahim Burhan, Pengarah Politeknik Banting.
Selain menyemarakkan semangat Ramadan, program ini juga bertujuan memperkukuh hubungan antara PTPTN, KPT, pihak pengurusan tertinggi JPPKK, serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
Dengan adanya inisiatif sebegini, mahasiswa bukan sahaja mendapat manfaat dari segi kebajikan tetapi turut merasakan kehadiran sokongan yang berterusan daripada pelbagai pihak.
PTPTN berharap inisiatif seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi pada masa hadapan agar lebih ramai pelajar dapat merasai manfaatnya.
Dengan sambutan yang menggalakkan, PTPTN beriltizam untuk terus melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang mendekati mahasiswa dan memberi impak positif kepada masyarakat kampus.
© New Straits Times Press (M) Bhd