kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Batik Air meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dengan kejutan istimewa buat penumpang yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Semua penumpang yang menaiki penerbangan domestik dari Subang menerima Jalur Gemilang dan snek sebagai tanda penghargaan, sekali gus menyemarakkan semangat kemerdekaan di udara.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar mengenang sejarah, tetapi mengingatkan rakyat terhadap perjalanan bersama sebagai sebuah negara.
“Merdeka melambangkan kesatuan, ketabahan dan kebebasan untuk terus melangkah ke hadapan dan di Batik Air, kami berbangga dapat menghubungkan rakyat Malaysia ke seluruh pelosok tanah air.
“Pada hari istimewa ini, kami bukan sahaja meraikan kemerdekaan, tetapi juga rakyat, perjalanan dan ikatan yang menyatukan kita sebagai satu Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Inisiatif itu mencerminkan komitmen syarikat penerbangan berkenaan untuk memberikan lebih daripada sekadar perkhidmatan penerbangan, dengan menekankan pengalaman bermakna kepada penumpang.
Selain memperluas rangkaian destinasi, Batik Air terus meraikan pencapaian budaya serta detik penting negara bersama setiap perjalanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




