syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Kak Iti nak tunggu lagu duet Hael dan Dayang, tapi macam tak sempat,”.
Demikian usik Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang tampil sebagai kejutan di konsert Hael Husaini & Repertoire, malam tadi.
Usikan Siti itu sejurus selepas dia selesai mempersembahkan lagu Anta Permana yang juga hasil ciptaan Hael dan Ezra Kong untuknya, sebelum dia meninggalkan pentas.
Kejutan itu menggemparkan seluruh ruang Zepp Kuala Lumpur dengan jeritan peminat, yang turut sama menyanyikan lagu popular itu.
Sebelum itu, Hael sengaja membuat adegan ‘lari tempo’ saat cuba menyanyikan Anta Permana dan menghentikan persembahan.
Selain Siti, konsert Hael Husaini & Repertoire turut menampilkan penyanyi-penyanyi hebat tanah air iaitu Dayang Nurfaizah, Nadeera, Nabila Razali dan Wany Hasrita.
Selain lagu-lagu popular nyanyian Hael, peminat turut disajikan dengan persembahan lagu-lagu yang pernah diciptanya untuk artis lain secara solo dan duet.
Tidak ketinggalan, kemunculan kumpulan baharu ALPHA, juara program realiti Big Stage Alpha, membuka tirai konsert dengan penuh bertenaga.
© New Straits Times Press (M) Bhd