Kejutan Young Tigress

Kejutan Young Tigress

sukanteam@nstp.com.my

Kuala Terengganu: Pasukan pembangunan, Young Tigress melakar kejutan selepas membenam cabaran tuan rumah, Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) 2-1 pada aksi Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB), petang tadi.

Kemenangan kedua itu membolehkan skuad kendalian Lailin Abu Hassan mengutip enam mata selepas menumpaskan CS Hockey Team 1-0 pada aksi sulung Ahad lalu.

Manakala impian skuad TLHT yang dibimbing bekas kapten kebangsaan, Mohd Shahrun Nabil Abdullah untuk mengekalkan kedudukan di tangga teratas liga selepas menang 4-0 ke atas Mutiara Impian pada aksi pertama berkecai sesudah dimalukan barisan pemain bawah 21 tahun itu.

Pada perlawanan itu, aksi kedua-dua pasukan dilihat seimbang dengan masing-masing mengasak kubu lawan sebaik wisel pertama ditiupkan pengadil.

Bagaimanapun, pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan hasil tolakan Siti Nur Irdina Mohd Nor menerusi pukulan sudut penalti pada minit ketujuh.

Tersentak jaringan itu, pasukan tuan rumah yang menyenaraikan dua pemain kebangsaan melancarkan gerakan lebih tersusun, namun gagal mencari gol penyamaan.

Sebaliknya pelawat berjaya menambah jaringan untuk mendahului 2-0 menerusi pemain kebangsaan, Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin juga melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-33.

Usaha berterusan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya merapatkan kedudukan 2-1 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan bekas pemain kebangsaan, Fazilla Sylvester Silin pada minit ke-46.

Bagaimanapun, impian TLHT mencari gol penyamaan tidak kesampaian dengan keputusan 2-1 kekal memihak kepada pasukan remaja kebangsaan itu.

Sementara itu Lailin akui semangat juang yang tinggi selain fokus menjadi kunci utama pasukannya berjaya menumpaskan bekas juara berganda itu.

“Perancangan yang teliti selain pemain mengambil peluang atas kesilapan pasukan lawan membolehkan kita melakar kejutan walaupun berdepan dengan pemain lawan lebih berpengalaman, kita harap momentum kemenangan ini dapat diteruskan berdepan Mutiara Impian pada Ahad ini,” katanya ketika ditemui selepas berakhir perlawanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top