KUCHING: Seorang penganalisis politik tidak menjangka Kabinet Sarawak akan mengambil anggota daripada golongan muda dalam masa terdekat kerana “budaya” di negeri ini.
James Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania berkata, walaupun “pertukaran generasi” sangat penting untuk memastikan kuasa juga dipegang oleh pemimpin muda, namun barisan kepimpinan semasa di Sarawak tidak akan berubah.
Beliau berkata kebanyakan menteri di Sarawak telah berada dalam Kabinet negeri selama beberapa dekad, termasuk Abang Johari Openg yang memegang pelbagai jawatan selama 30 tahun sebelum dilantik sebagai ketua menteri.
“Jelas, wujud keperluan bagi pertukaran generasi, tetapi kita semua tahu ini tidak akan berlaku di Sarawak kerana budaya mengekalkan menteri yang setia sejak dari zaman bekas ketua menteri Taib Mahmud,” katanya kepada FMT.

Chin berkata, ketika berkuasa, Taib tidak suka menukar menteri Kabinetnya kerana mahu mereka yang setia kekal “untuk waktu yang lama”.
“Itulah sebabnya mengapa Sarawak mempunyai timbalan ketua menteri yang paling lama berkhidmat di negara ini apabila Alfred Jabu mengundurkan diri selepas 40 tahun.
“(Keadaan) ini berulang dalam Kabinet sekarang, yang kekurangan muka baharu dan dengan menteri yang berada di situ selama beberapa dekad, ”katanya.
Beliau berkata, pengekalan pemimpin kerajaan yang sama menimbulkan “groupthink” dalam proses membuat keputusan, iaitu kebiasaan dengan rakan sekerja dan kecenderungan untuk tidak mengubah tabiat kerja.
Ini menjadikan mereka sukar menerima idea baru, katanya.
Namun, walaupun keadaan ini sedia berlaku di Sarawak, kedudukan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam pilihan raya negeri akan datang tidak terjejas.
Katanya, pengundi, terutama warga tua di kawasan pedalaman, tidak melihat perlunya pemimpin muda.
“Sekiranya mereka sudah menjadi penyokong GPS, (kesetiaan mereka) tidak akan berubah.”
Chin mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang berkata, beliau bersedia melepaskan jawatannya supaya pemimpin muda mengambil alih.