Kekalahan skuad B-16 negara perlu diberi perhatian serius

Kekalahan skuad B-16 negara perlu diberi perhatian serius

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kekalahan 0-4 kepada pasukan Bawah 17 Tahun (B-17) Vietnam pada aksi pembukaan Kumpulan A Kejuaraan Piala Asean B-17 jelas memberi tamparan awal buat skuad negara yang mempertaruhkan skuad B-16 di kejohanan itu.

Aksi di Stadium Gelora Joko Samudro, Indonesia, petang semalam menyaksikan skuad negara gagal menyaingi lawan, sekali gus meletakkan mereka dalam situasi wajib bangkit.

Kini, skuad kendalian Shukor Adan itu perlu mencatat kemenangan ke atas Indonesia pada Khamis ini, sebelum menentang Timor Leste tiga hari kemudian untuk menghidupkan peluang ke separuh akhir.

Penganalisis bola sepak tempatan, Zulakbal Abdul Karim menyifatkan keputusan itu sebagai petanda awal yang perlu diberi perhatian serius.

“Ini baru perlawanan pertama, tapi kekalahan besar ini menunjukkan kita masih belum cukup kuat.

“Kita ada pemain dari PLD (Pusat Latihan Daerah), Sekolah Sukan dan AMD (Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari), tetapi kualiti itu belum benar-benar menyerlah,” katanya.

Menurutnya, penilaian semula perlu dilakukan termasuk aspek latihan dan pemilihan pemain bagi memastikan pembangunan berada di landasan tepat.

Pada masa sama, beliau mengakui Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) di bawah Pengarah Teknikalnya, Datuk Ong Kim Swee serta Shukor masih baharu dan memerlukan masa.

Namun, beliau menegaskan keperluan mendapatkan jurulatih terbaik kerana pembangunan di peringkat remaja amat penting untuk masa depan bola sepak negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top