mohamadridzuan@hmetro.com.my
Bukan mudah untuk bertahan sehingga 35 tahun dalam seni kerana ada satu ketika mereka gah berada di atas dan kemudiannya meniti saat-saat sukar dalam karier.
Pengalaman pahit manis ini dilalui oleh anggota Exists iaitu Mamat (vokalis), Ezad (vokalis), Along (gitar), Musa (bass), Ajai (keyboard), Ujang (dram) dan tidak terkecuali Shah (gitar) yang pernah bersama kumpulan terbabit waktu awal penubuhan mereka.
Justeru sewajarnya mereka berbangga apabila bakal tampil dengan Konsert Exists Memento Mori yang akan berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil,Kuala Lumpur pada 1 Ogos nanti.
Musa selaku jurucakap kumpulan berkata, konsert ini sesuatu yang istimewa dan amat dinantikan peminat dan mereka sendiri.
“Sebenarnya kalau untuk pengalaman, yang pertama dulu kami dah mengalaminya menerusi Exists Reunion di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor.
“Impaknya sampai ke seterusnya sehingga ke hari ini. Tapi di Unifi Arena adalah yang paling besar setakat ini. Jadi sudah tentunya kami rasa seronok dan teruja.
“Exists Alhamdulillah tiap-tiap tahun ada konsert. Tapi kali ini berada di Unifi Arena, satu tempat yang kapasitinya besar. Kita rasa gementar juga lah sebab kali ini skala dia besar,” katanya.
Menurutnya, Exists mengharapkan agar konsert ini mendapat sambutan kerana ia akan menyuntik semangat untuk mereka pada masa seterusnya.
“Kami harap peminat Exists yang pernah saksikan konsert sebelum ini masih rasa nak tengok lagi. Sebenarnya Unifi Arena ini impak dia berbeza daripada venue lain.
“Kita akan bagi yang terbaik dan kekalkan kualiti Exists seperti yang orang kenal selama 35 tahun. Itu yang kami janjikan. Tapi kami tak boleh muktamadkan lagi lagu-lagu.
“Ini kerana banyak lagu nak kena pilih. Kita tengok “time frame” (jangka masa) dan susun momentum dia supaya peminat tak rasa bosan dan sampai ke klimaks.
“Lepas itu kena tengok pertukaran antara Mamat dan Ezad. Benda itu kena lalui banyak latihan dan ‘rehearsal’. Selain buat konsert, kami kena jaga reputasi. Itu paling penting,” katanya.
Menurutnya, Exists tidak mahu beraksi sambil lewa sekadar buat sahaja kerana perlu memikirkan situasi penganjur agar tidak rugi.
“Kami berpegang pada prinsip, kalau penganjur tak rugi, industri muzik akan terus subur,” katanya.
Dua vokalis hebat mereka, Mamat dan Ezad mengakui teruja untuk beraksi dalam konsert yang bakal melakar sejarah baharu dalam karier seni mereka.
Mamat berkata, pada masa sama, mereka perlu membuat persediaan rapi kerana ia memerlukan kesungguhan dan bukan kerja main-main.
“Konsert kali ini bukan dua jam, tapi sampai tiga jam. Bagi saya ini satu pengalaman baru. Walaupun Ezad ada, tapi saya sedar ia perlukan persediaan yang cukup.
“Saya rasa peminat akan turun sebab konsep “Memento Mori” ini agak lain macam sikit. Saya akan ikut susunan lagu yang diaturkan nanti.
“Saya pun peminat Exists juga sebenarnya walaupun terlibat secara langsung bersama mereka.
‘Kami ini dulu ibarat kain putih, ada jatuh bangunnya. Untuk mencapai 35 tahun ni bukan mudah.” katanya.
Ezad yang mengalami masalah resdung atau sinus pula berkata, dia seboleh mungkin menjaga vokal dan berharap agar segalanya dipermudahkan.
“Benda ini tak boleh elak kadang ia berkait dengan penjagaan kesihatan. Saya akui sekarang pun saya masih menyanyi dan tak tinggal benda itu.
“Sebabnya saya tak nak sampai satu tahap bila saya dah lama tak menyanyi, nanti saya ada kesukaran dari segi nyanyian. Sebab saya tahu benda itu.
“Bila dah berumur ini ada perbezaan nyanyian saya malah pernafasan saya kena jaga. Tapi yang pastinya, saya ingin kekalkan apa yang saya pernah buat sebelum ini,” katanya.
Along pula tampil dengan berita gembira apabila mengumumkan akan menerbitkan lagu baharu untuk kedua-dua vokalis mereka sempena konsert anjuran Icon Entertainment itu.
Persembahan itu sekali gus menyaksikan ‘reunion’ berskala besar kumpulan popular era 1990-an berkenaan, dengan jualan tiket dibuka mulai 30 April ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




