Kekalkan momentum jumpa Thailand

Kekalkan momentum jumpa Thailand

sukan@hmetro.com.my

Phnom Penh: Kemenangan kedua diraih skuad hoki wanita negara bukanlah tiket untuk mereka memperlahankan rentak permainan pada dua baki perlawanan di temasya Sukan Sea Kemboja.

Dalam misi mahu meraih emas di temasya dwitahunan itu, ketua jurulatih skuad hoki wanita kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata, terdapat banyak kelemahan yang perlu diperbaiki barisan pemain jika mahu terus mengekalkan momentum kemenangan.

Walaupun meraih kemenangan kedua menerusi jaringan 4-1 bertemu Singapura hari ini, namun barisan pemain tetap melakukan kesalahan sama hingga membuka ruang dan peluang kepada lawan menjaringkan gol.

“Segala perancangan taktikal diterjemah dengan baik oleh pemain namun berlaku beberapa kelemahan serta daya kesungguhan yang agak kurang diawal permainan.

“Kami mempunyai banyak kelebihan pukulan sudut penalti yang tidak diterjemahkan kepada jaringan dan ini kerana kesilapan teknikal pemain serta beberapa percubaan berjaya diselamatkan penjaga gol lawan yang bermain dengan baik,” katanya.

Pada perlawanan kedua skuad hoki wanita negara yang berlangsung di Stadium Morodok Techo, sebentar tadi, menyaksikan skuad kendalian Mohd Nasihin meraih kemenangan 4-1 menumpaskan Singapura.

Dua gol pasukan negara menerusi Nuramirah Shakira Zulkifli dan selebihnya disumbangkan Wan Norfaiezah Md Saiuti serta khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin manakala jaringan saguhati Singapura disempurnakan Jolene Ng.

Sementara itu, pertemuan membabitkan Thailand esok, Mohd Nasihin mengharapkan barisan pemain meneruskan momentum kemenangan dalam usaha meraih emas di temasya ini.

“Kami berharap pemain akan menggunakan masa yang ada untuk proses pemulihan tenaga sebelum turun bertemu Thailand. Kami akan tetap mencari kemenangan esok dan menuntut pemain untuk memberikan yang terbaik,” katanya.

Mengikut rekod, skuad hoki wanita negara sudah meraih dua kemenangan dengan menumpaskan tuan rumah 8-1 disusuli kemenangan 4-1 menentang Singapura.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top