fahmy.azril@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Kekangan kakitangan dan teknologi mendorong Jabatan Alam Sekitar (AS) meneroka pendekatan lain lebih efektif dengan menjalankan operasi penguatkuasaan serta pemantauan secara pintar.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Air dan Marin JAS, Norina Anak Frederick Sambang, berkata ketika ini agensi penguatkuasaan alam sekitar cuma mempunyai sekitar 1,400 kakitangan untuk menjalankan kerja pemantauan dan penguatkuasaan di seluruh negara.
Beliau berkata, kekurangan stesen manual atau dalam talian untuk memantau tahap kualiti air turut menjadi kekangan agensi itu mengesan sebarang pencemaran menerusi punca bau.
“Berdasarkan kekuatan anggota yang ada ini, bayangkan ada 45,631 punca kilang inventori dengan paling besar di Selangor, Johor dan Pulau Pinang.
“Cuba bahagikan 1,400 kakitangan ini untuk kerja penguatkuasaan untuk tempoh setahun. Itu belum lagi kerja lain seperti pemantauan.
“Di sungai pula, kita cuma ada 30 stesen untuk berikan data mengenai kualiti air dengan parameter terhad. Terdapat sekitar 17 parameter untuk pantau hal bukan berkaitan pencemaran.
“Lagipun 30 stesen itu untuk pantau 30 sungai saja dan bukan keseluruhan sungai bagi memberikan data dalam tempoh setiap 30 minit,” katanya dalam forum Jom Sembang Air disiarkan secara maya di Facebook, malam ini.
Norina berkata, JAS juga mempunyai 1,353 stesen manual yang bukan berada di semua 672 sungai seluruh negara.
Katanya, jika pihaknya dapat mengesan suatu yang pelik, maklumat yang diperoleh perlu dihantar ke makmal dan hanya selepas dua minggu baru boleh mendapat bacaan data itu.
“Jika diberikan banyak dana ia boleh digunakan untuk tambah baik dan memperbanyakkan lagi stesen air seperti stesen ‘continuous’ untuk merekodkan data nyata yang boleh membekalkan data setiap minit dan bukan lagi setiap 30 minit.
“Dengan pelaksanaan penguatkuasaan secara pintar, ia dapat membantu dan menyokong tugas kakitangan sekarang ini,” katanya
Sementara itu, pakar kualiti air, Ir Dr Zaki Zainuddin, berkata pembangunan meluas antara faktor penyumbang kepada kemerosotan tahap kualiti sungai di negara ini.
Selain pembangunan, beliau berkata, berdasarkan Laporan Kualiti Alam Sekitar (EQR) menunjukkan bahan paling banyak dilepaskan ke loji rawatan kumbahan adalah ammonia termasuk pembuangan bahan organik dari ladang khinzir yang menyebabkan pencemaran sungai.
“Kalau dulu keadaan sungai pada sekitar tahun 1970-an tercemar teruk disebabkan kekurangan pihak berkuasa alam sekitar tetapi jumlahnya tidak sebanyak sekarang.
“Banyak sungai tercemar disebabkan pembangunan meluas. Tetapi tidaklah tercemar banyak seperti dulu.
“Apa yang boleh ditambah baik berdasarkan struktur sekarang adalah kena letakkan KPI (indeks prestasi utama) berterusan. Apabila semua orang berkata nak kawal pencemaran, kualiti air dan nak pelihara air tetapi apa maksud pelihara itu?
“Keterangan itu mestilah ketara dan matlamatnya harus boleh diukur, seterusnya baru boleh laksanakan mekanisme sesuai,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



