mahaizura@mediaprima.com.my
Minat mendalam terhadap seni memanah tradisional sejak di bangku sekolah menjadi titik permulaan buat Mohd Aswat Kidam untuk terus memperjuangkan sukan warisan itu, seterusnya membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.
Walaupun pada awalnya cuma hobi yang sukar direalisasikan akibat kekangan kewangan, Mohd Aswat, 40, tidak pernah memadam impiannya untuk mendalami sukan itu selain belajar teknik pembuatan peralatan memanah sendiri.
Liku panjang dilalui Mohd Aswat bukan hanya mengenai memanah semata-mata, namun usaha membina jati diri, disiplin dan komuniti yang mampu mengangkat kembali martabat sukan tradisional berkenaan dalam kalangan generasi muda.
Anak jati Kuala Lumpur ini aktif sebagai jurulatih memanah bertauliah selain mengendalikan fasiliti latihan pusat memanah tertutup dan lapang sasar terbuka.
Menurut Mohd Aswat, minat terhadap memanah bermula di bangku sekolah, namun keadaan kewangan keluarganya ketika itu menyebabkan hasrat memiliki peralatan sendiri terpaksa ditangguhkan.
“Hanya selepas mula bekerja pada 2010 barulah saya mempunyai kemampuan untuk serius mendalami sukan ini.
“Titik perubahan terbesar berlaku pada 2012 apabila saya berpeluang menyertai pertandingan memanah tradisional antarabangsa di Turkiye malah pasukan kami berjaya meraih tempat ketiga acara berkumpulan,” katanya.
Kata Mohd Aswat, pengalaman di Turkiye membuka mata betapa luasnya dunia memanah tradisional yang bukan sekadar berkaitan teknik dan peralatan, namun turut sarat dengan nilai budaya serta falsafah masyarakat pelbagai negara.
“Di sana, saya mengambil kesempatan mempelajari teknik memanah dan pembuatan anak panah tradisional Turkiye secara langsung selain belajar dengan guru di Perlis, Cikgu Ashraf.
“Sejak itu, ia mencetuskan semangat luar biasa dalam diri saya untuk terus mendalami dan memartabatkan sukan ini sehingga ke hari ini,” katanya.
Bapa tiga cahaya mata ini berkata, perjuangannya dalam sukan memanah tradisional tidak pernah terhenti kerana dia percaya, sukan warisan itu mempunyai masa depan cerah di negara ini.
“Biarpun sukan ini belum dikategorikan sebagai sukan teras prestasi tinggi, namun kewujudannya selama hampir dua dekad di Malaysia menunjukkan perkembangan sangat pesat.
“Jika dahulu hanya dua kelab berdaftar di bawah Pesuruhjaya Sukan (PJS), kini hampir setiap negeri mempunyai persatuan sendiri di bawah naungan satu persatuan peringkat kebangsaan,” katanya.
Sepanjang pembabitannya, Mohd Aswat menyertai pelbagai kejohanan antarabangsa di China, Turkiye, Indonesia, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Korea Selatan dan Romania.
Antara pencapaian terbaiknya termasuk meraih pingat emas individu dan pingat perak berpasukan pada Kejohanan Memanah Tradisional Antarabangsa 2019 di Yecheon, Korea Selatan selain pingat perak berpasukan di ‘World Nomad Games 2022’ di Turkiye.
Selain aktif bertanding, Mohd Aswat turut membimbing ramai atlet muda menerusi Kelab Memanah Tradisional Cyberjaya (Cybertra) yang diasaskannya bagi melahirkan lebih ramai pelapis baharu dalam arena memanah tradisional.
“Saya bertekad untuk terus menyumbang tenaga kerana percaya, dalam tempoh 10 tahun akan datang, sukan ini mampu dipertandingkan di peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD), Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) mahupun Sukan Malaysia (SUKMA).
“Impikasinya, generasi muda akan mendapat manfaat daripada ekosistem yang lebih tersusun, sistematik dan mempunyai hala tuju jelas,” katanya.
Menurut Mohd Aswat, fokus utamanya ketika ini ialah mempersiapkan pasukan negara bagi menghadapi World Nomad Games 2026 di Kyrgyzstan selepas Malaysia tidak menghantar wakil memanah pada edisi 2024 di Kazakhstan.
“Saya dilantik sebagai Perwakilan Pejabat Malaysia World Nomad Games bagi menguruskan penyertaan atlet negara ke kejohanan berprestij itu.
“Tekad saya mahu melihat Malaysia kembali bersaing dan membawa pulang pingat,” katanya.
Harapan Mohd Aswat ialah, dia mahu terus melahirkan lebih ramai pelapis baharu menerusi pelbagai program latihan memanah tradisional yang dianjurkannya demi memastikan sukan warisan itu terus berkembang dan tidak hilang ditelan zaman.
“Walaupun sumbangan saya ini mungkin kecil, saya berharap usaha ini dapat memastikan sukan warisan ini terus berkembang serta dapat dipelajari semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




