am@hmetro.com.my
Ipoh: Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob mendakwa isu kekangan peruntukan diterima Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) antara penyebab isu konflik antara gajah dan manusia di daerah itu tidak pernah selesai.
Fathul Huzir berkata, konflik dimaksudkan termasuk kejadian yang menyebabkan anak gajah maut dilanggar lori di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, semalam.
Selain kekangan peruntukan, beberapa isu lain turut membelenggu Pejabat Perhilitan Daerah Hulu Perak seperti kekurangan staf, isu rondaan dan sumber makanan hidupan liar termasuk gajah yang semakin berkurangan.
Menurutnya, kebimbangan mengenai isu hidupan liar di Gerik sudah beberapa kali disuarakannya di Parlimen, susulan banyak aduan diterima oleh komuniti setempat mengenainya.
“Aduan orang ramai dan penduduk tempatan berkenaan perkara ini antara paling banyak sama ada rasmi atau melalui media sosial sekitar Januari hingga Februari lalu.
“Malah, permohonan pembaikan jalan JRTB dan pemasangan sehingga lebih 140 unit lampu solar bagi menghalau gajah sudah diterima, namun isu ini masih tidak selesai,” katanya.
Justeru, beliau berharap tindakan segera dapat dilaksanakan demi menjaga keutuhan dan kelestarian flora dan fauna termasuk gajah liar yang dianggap aset berharga untuk tatapan generasi mendatang.
“Semoga tindakan tuntas dapat diambil bersama. Insya-Allah, dengan kerjasama semua pihak tidak mustahil kaedah pembangunan lebih praktikal dan sesuai mampu kita laksanakan demi menjaga habitat dan kelangsungan hidup gajah,” katanya.
Semalam, seekor anak gajah dianggar berusia lima tahun dan mati dilanggar treler muatan ayam di JRTB Gerik-Jeli di Gerik.
Kejadian itu yang turut tular cukup menyayat hati apabila ibu gajah berkenaan dirakam berdiri beberapa jam di samping anaknya yang sudah mati di bawah lori.
© New Straits Times Press (M) Bhd