am@hmetro.com.my
Kulai: Sepasang kekasih ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas disyaki berkhalwat dalam bilik sebuah hotel di daerah ini.
Pasangan yang masih bujang itu mendakwa mereka terpaksa menyewa bilik hotel kerana pulang lewat dari rumah terbuka rakan dan bimbang dimarahi ibu bapa.
JAINJ dalam kenyataan berkata, pasangan itu ditahan selepas penguat kuasa menjalankan pemeriksaan di hotel berkenaan kira-kira jam 9.30 pagi.
Katanya, menjadi tugas penguat kuasa untuk memeriksa mana-mana hotel secara berkala walaupun tiada aduan.
“Penguat kuasa pergi ke hotel berkenaan dan di sebuah bilik, penguat kuasa mengetuk pintu sebelum dibuka lima minit kemudian oleh lelaki yang berpakaian seluar panjang dan baju-T.
“Penguat kuasa terus masuk ke bilik selepas memperkenalkan diri. Penguat kuasa mendapati pintu tandas bertutup dipercayai ada orang di dalam. Apabila ditanya siapa yang berada dalam tandas, lelaki itu tidak menjawab.
“Selepas tiga minit pintu tandas diketuk, kedengaran suara wanita menyahut dan pintu tandas dibuka. Penguat kuasa wanita masuk ke dalam tandas dan menemui seorang wanita yang sedang berkemban menggunakan tuala,” katanya.
Menurut JAINJ, hasil soal siasat, pasangan itu mengaku bukan suami isteri dan tiada hubungan mahram.
Katanya, lelaki itu berusia 20-an manakala wanita itu berusia 30-an yang mana kedua-duanya sudah bekerja dan masih bujang.
“Pasangan ini masuk ke bilik hotel berdua pada malam sebelumnya sekitar jam 12 tengah malam. Apabila ditanya kenapa berada berdua dalam bilik, pasangan ini kata tidak sempat balik ke rumah dan terpaksa bermalam di hotel.
“Sebelum masuk ke bilik, mereka berdua beraya rumah terbuka kawan sehingga lewat malam. Mereka bimbang mak ayah marah sebab balik lambat. Wanita beritahu keluarga, dia bermalam di rumah kawan malam itu,” katanya.
JAINJ berkata, pasangan itu berhasrat bernikah tetapi belum ada sebarang proses dibuat seperti bertunang atau pun mengisi borang permohonan nikah.
Pasangan itu kemudian ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997 kerana berkhalwat.
Pada masa sama, JAINJ memaklumkan orang ramai yang mempunyai aduan atau maklumat berkaitan boleh menghubungi bahagian penguat kuasa JAINJ di talian 07-2076429.
© New Straits Times Press (M) Bhd




