am@hmetro.com.my
Shah Alam: Armada Bersatu membuat laporan polis bagi menggesa siasatan terhadap pihak yang cuba mencetuskan insiden kekecohan ketika perasmian Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti itu malam tadi.
Ketua Penerangannya, Harris Idaham Rashid berkata, laporan polis itu dibuat Ketua Komander Brigade Armada Bersatu, Afiq Nardin di Balai Polis Seri Muda, di sini, kira-kira jam 12 tengah malam tadi.
Beliau berkata, satu laporan juga dibuat kepada Lembaga Disiplin parti, bagi menggesa tindakan diambil terhadap perwakilan dan individu yang mencetuskan kekecohan.
“Dalam laporan disiplin itu, kami menyenaraikan perkara yang kami tidak berpuas hati kerana ia (kekecohan itu) memalukan dan berlaku di khalayak ramai, di hadapan jemputan dan pengamal media yang sedang membuat liputan.
“Ketua Keselamatan Armada sudah pun membuat laporan polis di Balai Polis Seri Muda. Saya difahamkan kertas siasatan sudah pun dibuka,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Harris yang juga Ketua Bahagian Bersatu Balik Pulau berkata, individu yang mencetuskan kekecohan pada malam tadi itu sudah pun memohon maaf.
“Pengerusi Tetap maklumkan malam tadi mereka dipanggil dan sudah menyatakan permohonan maaf, kesal dan mengakui perkara itu tak patut berlaku,” katanya,” katanya.
PAT Bersatu 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, malam tadi, kecoh apabila berlaku insiden pergelutan dan tolak-menolak ketika Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang menyampaikan ucapan dasar.
Situasi kecoh itu menyebabkan sesi berkenaan sedikit terganggu serta tertangguh selama beberapa minit.
© New Straits Times Press (M) Bhd