Kekuatan IRGC

Kekuatan IRGC

Tehran: Serangan udara Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang mengakibatkan kematian Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, mewujudkan kekosongan kuasa terbesar sejak revolusi negara itu pada 1979.

Majlis sementara sudah dilantik untuk menjalankan tugasnya, tetapi kuasa sebenar ke atas masa depan Iran sebenarnya terletak pada Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) seperti dilaporkan Bloomberg.

Menurutnya, IRGC menguasai empayar besar yang merangkumi keseluruhan institusi pertahanan negara, membentuk dasar ketenteraan, mengawal kekuatan peluru berpandu dan tentera laut mereka sendiri serta operasi siber utama.

Difahamkan, mereka juga mengawasi pembinaan dan infrastruktur kritikal melalui cawangan kejuruteraan yang berkuasa, mengawal hab pengangkutan serta berpengaruh dalam sektor tenaga sebagai perantara pembeli minyak Iran yang dikenakan sekatan.

Khamenei mengekalkan hubungan saling menguntungkan dengan IRGC, bergantung kepadanya untuk mengekalkan cengkaman kuasa sambil memastikan kesetiaannya.

Kini, dengan ketiadaannya, IRGC bersedia menentukan bukan sahaja pengganti beliau, tetapi juga kelangsungan Republik Islam dan bentuknya seterusnya.

Sejarah IRGC

Di Iran, terdapat dua angkatan tentera utama. Satu ialah tentera tetap yang dikenali sebagai Artesh. Satu lagi ialah IRGC yang ditubuhkan selepas revolusi Iran 1979.

Apabila Shah atau pemerintah, Mohammad Reza Pahlavi, digulingkan, pemimpin baharu Iran tidak sepenuhnya mempercayai tentera sedia ada. Tentera tetap berkhidmat kepada monarki. Tentera negara itu pernah berlatih dengan sekutu Barat. Dalam saat yang rapuh, kesetiaan lebih penting daripada tradisi.

Justeru, Ayatollah Ruhollah Khomeini dan sekutunya mahukan pasukan yang komited bukan sahaja untuk mempertahankan sempadan, tetapi juga untuk mempertahankan revolusi itu sendiri.

Jadi IRGC dibentuk. Pada mulanya, ia adalah pengawal ideologi yang kecil. Kemudian berlaku Perang Iran-Iraq pada tahun 1980-an. Konflik itu memperkukuh IRGC, mengembangkan barisannya dan mengubahnya menjadi tonggak utama Republik Islam yang baharu.

Bukan entiti tunggal

Menurut satu laporan Bloomberg lagi, IRGC bukan entiti tunggal sebaliknya terdiri daripada beberapa kumpulan lebih bersifat ketenteraan dan ideologi, manakala yang lain lebih pragmatik untuk mengekalkan kedudukan istimewa dalam sistem.

Kumpulan ini mempunyai kira-kira 200,000 anggota aktif dan 600,000 sukarelawan termasuk pasukan separa tentera Basij dengan bekas anggotanya menembusi hampir setiap aspek masyarakat Iran.

Dalam pada itu, veteran IRGC mengurus bahagian sensitif tentera Iran termasuk peluru berpandu balistik, dron dan program nuklear serta memegang peranan politik utama seperti Menteri Luar Abbas Araghchi dan ketua keselamatan negara, Ali Larijani.

Tokoh kanan lain termasuk Speaker Parlimen, Mohammad-Bagher Ghalibaf.

Dua angkatan, dua misi

Tentera tetap Iran masih wujud. Artesh beroperasi seperti pasukan konvensional di tempat lain. Ia melindungi tanah, ruang udara dan perairan Iran. Peranannya adalah pertahanan negara.

IRGC pula melapor terus kepada Pemimpin Tertinggi, iaitu Ali Khamenei sehingga kematiannya baru-baru ini dalam konflik Iran-AS-Israel.

Dalam saat-saat ketegangan serantau, IRGC sering menjadi tumpuan utama. Sama ada melalui ujian peluru berpandu, rondaan tentera laut di Teluk atau sokongan untuk kumpulan bersekutu di luar negara, ia membentuk postur Iran di Timur Tengah.

Tentera tetap Iran mengawal negara. IRGC pula berperanan untuk mengawal revolusi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top