ALOR SETAR: Keputusan Pengerusi Badan Perhubungan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Kedah meninggalkan parti itu semalam didakwa tidak memberi kesan terhadap kekuatan parti itu di negeri ini dan peringkat nasional.
Setiausaha Putra Kedah, Syed Hairoul Al-Yahya berkata, ketika ini masih ada lagi ahli jawatankuasa yang terus istiqamah dengan perjuangan parti dengan penuh ikhlas.
Menurutnya, apa yang lebih penting semua pihak dalam parti itu perlu fokus untuk berkhidmat dan berbakti serta terus berada dalam perjuangan membela rakyat Kedah secara keseluruhannnya.
“Putra mengalu-alukan kehadiran mereka yang ingin berjuang dengan sebenar-benarnya dalam membela nasib rakyat.
“Dalam masa sama, kami tidak menghalang mana-mana pemimpin atau ahli yang tidak berminat untuk keluar daripada perjuangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Mustaffa mengumumkan melepaskan semua jawatan dan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta merta.
Turut meninggalkan parti itu secara beramai-ramai ialah Timbalan Pengerusi Putra negeri, Datuk Fadhil Hanafi serta beberapa ahli jawatankuasa lain.
Menurut Mustaffa, beliau kecewa dengan tindakan Presiden Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali yang didakwa melabelkannya sebagai tidak mempunyai roh perjuangan.
Tuduhan sedemikian didakwa dibuat Ibrahim kerana Mustaffa enggan akur dengan arahan untuk meneruskan demonstrasi membantah minuman keras jenama timah.
Syed Hairoul menambah, tindakan Mustaffa itu juga diyakini tidak akan melumpuhkan pergerakan parti itu di negeri ini.
“Selaku setiausaha parti negeri, saya menafikan dakwaan tersebut,” katanya.- UTUSAN ONLINE




