harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 195 pengunjung bawah umur dan seorang pengurus premis ditahan dalam serbuan terhadap sebuah kelab malam yang beroperasi tanpa lesen di sekitar ibu negara, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, seramai 431 individu diperiksa dalam serbuan dijalankan pada jam 12.30 tengah malam itu.
”Kesemua individu yang ditahan berusia antara 18 tahun hingga 64 tahun. Ia membabitkan seorang pengurus premis, 93 pengunjung lelaki warga tempatan bawah umur dan 61 pengunjung wanita tempatan bawah umur.
”Pengunjung warga asing lelaki bawah umur yang ditahan adalah seramai 16 orang dan wanita warga asing bawah umur seramai 25 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kesemua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan saman, dokumentasi dan tindakan lanjut.
Katanya, saringan awal air kencing ke atas 49 individu mendapati seorang daripada mereka positif dadah jenis amfetamin dan metamfetamin manakala selebihnya negatif.
“Pengurus premis hiburan itu disiasat mengikut Seksyen 29 (2) Kaedah-kaedah Hiburan (WPKL) 1993 iaitu membenarkan pengunjung bawah umur memasuki premis hiburan.
“Operasi ini mencerminkan komitmen berterusan Polis Kuala Lumpur dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.
“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan secara berterusan dari semasa ke semasa bagi mengekang sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada pihak polis melalui Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0522 / 03-2146 0585, Pusat Kawalan Daerah IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




