Kelah 'terbang' ke China

Kelah 'terbang' ke China

am@hmetro.com.my

Kuala Berang: Seorang pembekal anak ikan kelah merah di Kampung Betong dekat sini, tidak menang tangan selepas menerima tempahan untuk bekalan termasuk dari China.

Azmi Hamid Chua, 45, berkata, dia yang sebelum ini tinggal di luar Terengganu mengambil keputusan untuk pulang ke kampung dan mengusahakan jualan ikan kelah merah sejak tujuh tahun lalu.

Menurutnya, dia terfikir untuk menjalankan perniagaan menjual anak ikan kelah namun ketika itu dia masih mentah dan tidak mempunyai ilmu dalam bidang itu.

“Sebelum melakukan perniagaan ini secara serius, saya berguru dengan rakan-rakan yang berkemahiran dalam bidang berkaitan ikan kelah dan hasil tunjuk ajar rakan-rakan yang berpengalaman, saya dapat melakukan kerja ini.

“Saya membeli ikan kelah pelbagai saiz dan saya akan menggredkan ikan-ikan berkenaan sebelum dijual kepada pembeli yang biasanya menempah dalam kuantiti yang banyak,” katanya yang juga seorang pekebun sawit.

Menurutnya, ikan kelah biasanya ditangkap penduduk setempat selepas musim banjir kerana ia mudah diperoleh selepas tengkujuh.

Katanya, ikan yang dijual bersaiz 2.54 sentimeter (cm) hingga 10 cm dengan harga RM3 hingga RM12 seekor dan antara 40,000 hingga 100,000 ekor ikan atau lebih akan digred dalam setahun bergantung kepada bekalan yang diterima.

Azmi berkata, anak-anak ikan akan dibesarkan hingga mencapai saiz ideal iaitu 3.8 cm yang biasanya mendapat permintaan tinggi antara 10,000 hingga 15,000 ekor bagi satu tempahan yang dibuat.

“Saya pernah menghantar bekalan sebanyak 8,000 ekor ikan kelah bersaiz antara lima cm hingga 10 cm ke China dan proses pembelian itu dilakukan anak saya, Hafiz Ikwan, 21, yang boleh berbahasa Cina.

“Memandangkan Hafiz bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), dia mampu meluaskan pasaran anak-anak ikan ini dan saya sendiri ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menghantar ikan itu dalam bentuk kargo.

“Selain itu, isteri, Nor Marliana Abdullah, 29, turut membantu dalam menjalankan perniagaan ikan kelah ini kerana permintaan yang amat tinggi daripada pembeli,” katanya.

Menurutnya, dia turut mempunyai induk ikan kelah merah yang biasanya dipinjamkan kepada rakan-rakannya untuk dijadikan induk bagi proses biak baka.

Katanya, jualan ikan kelah merah boleh mencecah antara RM100,000 hingga RM200,000 setahun namun ia belum ditolak lagi dengan pelbagai kos yang perlu ditanggung bagi membesarkan anak-anak ikan berkenaan.

“Saya turut memberi khidmat nasihat kepada pembeli atau penternak bagi memastikan ikan itu dipelihara dan hidup dengan baik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top