sukan@hmetro.com.my
Bachok: Kelantan bakal memiliki litar drag pertama selepas penganjuran program Drag Day selama tiga hari yang menghimpunkan lebih 30,000 peminat di negeri ini.
Program bermula 6 November lalu itu dilaksanakan menerusi Drag Dolphin Club (DDC) bersama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui Koperasi UMK Berhad sempena Festival Konvokesyen (Fesko) UMK ke-15.
Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr Arham Abdullah berkata, UMK memberi kebenaran pembinaan litar drag di kawasan seluas lebih dua hektar.
Beliau berkata, melihat kepada kejayaan penganjuran itu, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan litar berkenaan sebagai tapak kekal bagi menggalakkan sukan permotoran di negeri ini.
“Kawasan itu berpotensi menjadi tapak automotif dan sukan lasak yang turut memberi manfaat kepada UMK dan penduduk sekitar dari segi penerokaan pendidikan baru dan peluang pekerjaan.
“Kita mempunyai kursus keusahawanan, pelajar boleh bekerjasama dalam memasarkan peluang perniagaan seperti ekspo, tempat jualan selain tarikan peminat sukan permotoran dan sukan lasak.
“Kita boleh menggalakkan penyertaan pelajar kemahiran latihan dan teknikal vokasional (TVET) dan Giat Mara bagi tujuan pendidikan,” katanya ketika ditemui pada program Drag Day di Kampung Mujur, Jelawat, di sini.
Arham berkata, litar sepanjang 500 meter digunakan untuk pertandingan drag dengan pemantauan bersama pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Sementara itu, Presiden DDC Team, Azwan Hafiz Ibrahim berkata, penyertaan membabitkan 180 kereta dan 140 motosikal pelbagai kategori.
© New Straits Times Press (M) Bhd




