Kelantan cadang tambah pegawai, program pembangunan sukan

Kelantan cadang tambah pegawai, program pembangunan sukan

sukan@hmetro.com.my

Kota Bharu: Kerajaan negeri berhasrat mahu menambah pegawai dan program pembangunan sukan selepas Kelantan menduduki tangga kedua tercorot di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, pihaknya mahu memperkasakan semula fungsi Majlis Sukan Negara (MSN) negeri.

“Setakat ini kita mempunyai enam pegawai pembangunan sukan untuk jaga 35 jenis sukan, jadi kita bercadang nak tambah sehingga 10 pegawai bergantung pada kewangan.

“Selain itu, kita mahu perkasakan semula program pencarian bakat lebih awal bukan di peringkat persatuan sahaja,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam bersama pasukan sepak takraw Kelantan Warriors.

Zamakhshari berkata, tindakan itu susulan bedah siasat ke atas keputusan Kelantan yang hanya memungut 37 pingat berbanding sasaran 56 pingat di Sukma 2024.

Katanya, langkah penambahbaikan perlu disegerakan kerana kedudukan sukan di negeri ini kritikal untuk mencapai keputusan baik di peringkat negeri termasuk menghadapi Temasya Para Sukma bermula 22 September ini.

Katanya, untuk Para Sukma, pihaknya menyasarkan 38 pingat membabitkan 17 emas, 13 perak dan lapan gangsa.

Dalam perkembangan lain, Zamakhshari meluahkan rasa kecewa apabila dihalang bertemu atlet Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di sebuah sekolah, baru-baru ini.

Katanya, sebelum ini dia diminta oleh salah seorang bapa atlet untuk memberi sokongan atas kapasiti exco sukan, namun dihalang pihak sekolah atas faktor sebagai ahli politik pihak pembangkang.

“Kita faham pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan tidak salahkan pihak sekolah, namun sesuatu harus dilakukan kerana polisi ini akan merencatkan kerjasama kerajaan negeri dan pusat untuk pembangunan sukan dan atlet.

“Saya sudah menghubungi Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan menerima maklum balas positif.

“Saya turut berhasrat membuat aduan bertulis kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk memberi kelonggaran dalam polisi itu atas nama kebaikan sukan negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top