Kelantan FC jangka berdepan aksi sukar di Larkin

KOTA BHARU: Ketua Jurulatih Kelantan FC, Marco Ragini mengakui pasukan bimbingannya bakal berdepan dengan satu lagi aksi sukar untuk memperolehi mata apabila turun bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT II) di Stadium Tan Sri Dato Hj Hassan Yunos, Larkin, malam esok.

Jurulatih dari Itali itu berkata, pada perlawanan minggu lalu, skuadnya melalui perlawanan sukar menentang pasukan kelompok teratas Liga Perdana iaitu Negeri Sembilan yang menyaksikan mereka pulang dengan tangan kosong selepas tewas 1-2.

“Kami sekali lagi bakal menghadapi satu lagi perlawanan penting dan sukar. Kami sedar kami akan menentang salah satu daripada pasukan terbaik dan dengan struktur penting, pemain dan organisasi terbaik di belakangnya.

“Pemain mereka (JDT II) adalah amat bagus seperti Fernando Rodriguez dan Nicolas Fernandez, tetapi kami juga mempunyai pemain import, tetapi saya suka untuk memuji kolektif pasukan ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Selepas lapan perlawanan Kelantan FC ketika ini berada di kedudukan kelima dengan mengumpul 13 mata hasil daripada empat kemenangan dan satu seri manakala JDT II berada di kedudukan ke tiga dengan 14 mata hasil daripada empat kemenangan dan dua seri.

Ragini berkata perlawanan di gelanggang lawan adalah sukar kepada mana-mana pasukan untuk memperolehi mata.

“Kita tahu, jika mereka (JDT II) bermain di tempat lawan, juga sukar untuk dikalahkan,” katanya.

Bagaimanapun beliau percaya dengan kemampuan pemain dan pasukan yang baru dibentuknya tidak sampai setahun itu, serta pihak pengurusan pasukan.

“Kami percaya kepada sistem kami, dan ini bermakna walaupun akan ada banyak kekurangan dalam perlawanan menentang JDT II, falsafah kami tidak berubah. Semua 11 pemain yang berada di padang akan melakukan tugas mereka yang terbaik untuk pasukan,” katanya.

– BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd