sukanteam@nstp.com.my
Kota Bharu: Gol sendiri KL City FC menghadirkan tuah buat Kelantan FC apabila terikat seri 2-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV,Kota Bharu, malam tadi.
Seawal minit ke-10, tuan rumah tersentak dengan jaringan mengejut KL City FC menerusi percubaan jarak dekat Herlison Caion
Kapten pasukan KL City FC, Paulo Josue gagal menggandakan jaringan pelawat bagi sepakan penalti hasil kekasaran Muhammad Yusri Yuhasmadi ke atas Tchetche Kipre.
Import Kelantan, Leonardo Rolon turut mensia-siakan sepakan penalti tuan rumah apabila gol percubaannya melambung tinggi.
Pada minit ke-33, anak buah Bojan Hodak menambah derita Sang Kijang apabila Declan Lambert menewaskan penjaga gol, Nik Mohd Amin Ahmad.
Enam minit berselang, hantaran jarak jauh Mario Arques mudah dibaca penjaga gol KL City FC, Azri Ghani yang mendakap kemas bola, sekali gus menafikan gol pertama buat Kelantan.
Tuah buat Kelantan hadir apabila pemain KL City FC, D Kenny Pallraj membuat kesilapan tertanduk bola ke gawang sendiri minit ke-41.
Jaringan itu nyata menaikkan semangat anak buah Choi Moonsik dengan membuat beberapa percubaan bahaya.
Kemasukan pemain, Mohamad Fazrul Amir Md Zaman tidak sia-sia apabila dia bijak menyambut hantaran rakan sepasukan dengan menghadiahkan gol penyamaan pada minit tambahan di separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Nik Mohd Amin cemerlang menyelamatkan gawang dibolosi lawan minit ke-62.
Minit ke-74, Kelantan terpaksa bermain dengan sepuluh pemain apabila Mohamad Ikhwan Yazek dibawa keluar padang selepas mengalami kecederaan.
Keputusan kekal 2-2 hingga wisel penamat menyaksikan Kelantan dan KL City FC berkongsi mata.
© New Straits Times Press (M) Bhd




