Kota Bharu: Kerajaan Kelantan memberi tumpuan kepada pembinaan tujuh fasiliti sukan utama sebagai persiapan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2028.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata tiga projek kini sedang dalam pembinaan, manakala empat lagi di peringkat perolehan tender.
“Tiga fasiliti yang sedang dibina ialah Stadium Utama Bukit Merbau dan Lapang Sasar Menembak di Pasir Puteh serta Kompleks Sukan Bandar Jeli di Jeli.
“Empat lagi projek yang dalam proses perolehan tender ialah Stadium Hoki, Arena Tertutup, Pusat Skuasy dan Gelanggang Boling Padang Berbumbung – kesemuanya di Pasir Puteh – serta Pusat Akuatik di Kota Bharu,” katanya kepada Bernama.
Menurut beliau, pembinaan Stadium Utama Bukit Merbau kini mencatat kemajuan 16.77 peratus dan dijangka siap pada 2027.
Lapang Sasar Menembak yang bermula Disember lalu pula merekodkan kemajuan empat peratus dan dijangka siap Disember 2026, manakala Kompleks Sukan Bandar Jeli mencapai kemajuan 39.75 peratus dan dijangka siap Jun 2025.
“SUKMA Kelantan dijangka berlangsung sekitar Jun atau Julai 2028. Kerajaan negeri yakin semua projek ini siap mengikut jadual dengan pemantauan berterusan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan komitmen kontraktor,” katanya.
Menyentuh persiapan atlet, Zamakhshari berkata Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan sudah memulakan perancangan awal menjelang SUKMA 2026.
“Berdasarkan pengalaman di SUKMA Sarawak 2024, kita sudah melakukan rombakan termasuk melantik jurulatih baharu bagi meningkatkan prestasi kontinjen negeri.
“Saya juga kerap turun padang bagi memastikan segala perancangan berjalan lancar sebelum menetapkan sasaran pungutan pingat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd