Kelantan kenal pasti PPS, siap sedia hadapi banjir

Kelantan kenal pasti PPS, siap sedia hadapi banjir

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Kelantan melakukan persiapan termasuk mengenal pasti lokasi pusat pemindahan sementara (PPS) di setiap jajahan bagi menghadapi kemungkinan banjir pada musim Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal berkata, mesyuarat persediaan banjir sudah diadakan di peringkat negeri dan jajahan, manakala satu lagi mesyuarat dijangka diadakan dalam masa terdekat bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana itu.

Beliau berkata, banjir di negeri ini lazimnya berlaku pada November dan Disember, namun pihaknya berharap tahun ini tidak berlaku banjir besar atau serius.

“Dari segi persiapan banjir seperti tahun-tahun sebelum ini, kita sudah bersedia. Insya-Allah, kita berharap banjir tahun ini tidak terlalu besar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sukan Negara 2026 peringkat negeri Kelantan di sini hari ini.

Beliau berkata, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dijadual menghadiri mesyuarat pengurusan bencana di peringkat Persekutuan yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu depan sebagai sebahagian daripada penyelarasan menghadapi musim banjir.

Mengulas berkenaan kawasan yang dijangka berisiko dilanda banjir, Tengku Mohamed Faziharudean berkata, Pasir Mas dijangka terus berdepan risiko itu selagi projek tebatan banjir Sungai Golok belum siap.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top