Kelantan menang tipis

Kelantan menang tipis

sukan@hmetro.com.my

Kota Bharu: Kelantan The Real Warriors ceria di laman sendiri selepas berjaya menundukkan Melaka FC 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV,Kota Bharu, sebentar tadi.

Namun, seawal minit ke-tiga, Melaka terlebih dahulu mencemaskan tuan rumah menerusi sepakan Muhammad Sharel Fikri Md Fauzi minit ke-3 meskipun perlawanan bermula dalam keadaan hujan lebat.

Berselang empat minit, rembatan Aiman Danish tersasar melepasi gawang selepas gagal memanfaat bola muntah jaringan Sharel Fikri.

Kelantan kemudiannya membuat percubaan gol hasil tandukan Muhammad Farris Izdiham Awang Kechik namun tepat ke penjaga gol Melaka, Muhammad Haziq Aiman Mohd Esa minit ke 12.

Minit ke 28, percubaan sepakan jarak jauh Asraff Alifuddin pula gagal menjelmakan gol buat Kelantan TRW.

Penjaga gol Kelantan, Damyan Damyanov beraksi cemerlang melonjak badan untuk menguis keluar sepakan Nizarruddin Jazi minit ke 32.

Kesilapan import Melaka, Onyekachi Ozor tertampan bola ke gawang sendiri selepas terperangkap dengan hantaran lintang Syahir Saiful Nizam meletakkan Kelantan di hadapan pada minit ke 37 manakala Danial Haqim menambah derita pelawat dengan jaringan kedua minit ke- 88.

Kejayaan Kelantan sedikit terencat apabila Azwan Arifin menerima kad merah selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati dia melakukan kekasaran kepada pelawat dan pengadil, Mohamad Kamil Zakaria Ismail memutuskan sepakan penalti buat Melaka sekali gus memberikan pelawat gol saguhati menerusi sepakan penalti Juan Da Silva di hujung permainan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top