am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Kelantan digesa bertindak lebih agresif bagi menghidupkan beberapa bandar yang dikesan masih uzur dan lesu di negeri ini.
Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Datuk Dr Alias Rameli berkata, kerajaan negeri perlu membuat perancangan untuk menyegarkan dan memulihkan semula bandar lama antaranya Pasir Mas.
Katanya, tindakan segera perlu dilakukan bagi menghidupkan kawasan berkenaan bukan saja boleh menjadi tarikan pelancongan tetapi juga dalam konteks pelaburan berkaitan kebudayaan.
“Pelancong sekarang nak lihat bandar yang bersifat tradisional, penduduk masih bergotong royong, jadi Kelantan perlu buat pemugaran dari segi landskap, pokok, laluan yang sesuai untuk pejalan kaki, tak perlu mewah tapi keluarga boleh guna untuk riadah, rekreasi, contohnya di Pasir Mas, Kota Bahru ada yang sudah usang.
“Kita dan sediakan pelan tindakan khas kepada 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan untuk buat permohonan untuk bangunkan kawasan masing-masing, inisiatif seterusnya PBT kena buat permohonan kepada kerajaan pusat, negeri,” katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Kelantan Revitalisasi Bandar : Agenda Perancangan Untuk Ummah di Hotel Grand Riverview, di sini, hari ini.
Alias berkata, Kelantan berjaya menempatkan 12 PBT itu berada dalam bandar mampan dengan 50 pengukuran setara dengan Selangor, Johor dan Kedah sejak 2002.
“Kita bagi cabaran kepada PBT yang ada bandar lesu ini supaya rajin memohon peruntukan, kita ada banyak projek peruntukkan seperti menerusi projek taman rekreasi MADANI bernilai RM500,000, projek bandar sihat, bandar selamat, bandar pintar,” katanya.
Beliau juga mengharapkan Kelantan meneruskan kejayaan dalam mencapai taraf dunia seperti kejayaan bandar Kuala Krai sebagai 10 bandar bahagia di Malaysia dengan melepasi 42 pengukuran pelbagai perimeter seperti tahap stres, kejiranan, peranan pemimpin kepada masyarakat setempat selari dengan laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan Kuala Lumpur tidak tersenarai dalam 20 kelompok bandar paling bahagia di Malaysia berdasarkan faktor trafik yang sesak, tekanan hidup dan kos perumahan yang tinggi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




