am@hmetro.com.my
Padang Serai: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bimbang dengan trend penyalahgunaan dadah yang merekodkan peningkatan ketara dalam tempoh tiga tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pada tahun lalu seramai 192,857 orang terbabit dalam penyalahgunaan dadah berbanding tahun 2023 iaitu 145,526 orang dan 137,176 orang pada 2022.
Katanya, lebih membimbangkan apabila julat umur individu 15 hingga 39 tahun paling tinggi terbabit dengan najis dadah iaitu kira-kira 61 peratus.
“Data ini dikumpulkan oleh empat pihak iaitu polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Kesihatan dan pusat pemulihan swasta.
“Negeri tertinggi mencatatkan penyalahgunaan ini adalah Kelantan diikuti Terengganu, Perlis dan Kedah yang keempat-empatnya berhampiran sempadan antarabangsa yang mudah menjadi laluan penyeludupan, serta majoriti penduduk Melayu-Muslim, tetapi analisis dilakukan berasaskan data, bukan faktor kaum.
“Daerah Pendang, Kedah pula menjadi daerah yang mencatatkan kes tertinggi diikuti Kuala Krai dan Bachok di Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir ke Program AADK Bersama Masyarakat dan Peluncuran Kalendar Hari Antidadah 2025 di Kolej Tingkatan Enam Kulim di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, statistik jenis dadah tahun lalu menyaksikan dadah jenis ATS (Amphetamine Type Stimulant) terdiri daripada methapetamin atau syabu menjadi pilihan selain ekstasi dengan jumlah peningkatan sebanyak 34.4 peratus atau 103,990 kes berbanding tahun lalu.
Bagaimanapun katanya, selain trend penyalahgunaan dadah sintetik meningkat, trend penyalahgunaan dadah konvensional turut membimbangkan iaitu ganja yang meningkat 7,121 kes atau 63.4 peratus berbanding tahun lalu.
“Oleh itu, melihat kepada masalah yang serius ini, polis, AADK atau pemimpin politik dan pemimpin masyarakat termasuk di sekolah perlu ada titik temu yang membolehkan kita bekerjasama.
“Perkara lain boleh ada perbezaan tetapi kena ikut terbabit dalam hal ini supaya kita dapat cari jalan bagi mengatasinya,” katanya.
Saifuddin berkata, tindakan kawalan dan penguatkuasaan di kawasan sempadan khususnya Sungai Golok sentiasa ditingkatkan termasuk meletakkan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq.
“Kita juga memperketat pintu sempadan dari Padang Besar, Perlis sampai ke Bukit Kayu Hitam. Tapi pada masa sama kalau kempen kesedaran tidak berjalan, tak boleh juga. Kita perlu tindakan yang kolektif untuk menghadapinya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




