am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Kerajaan Kelantan tidak pernah meluluskan lesen jualan vape susulan penggunaan rokok elektronik itu yang boleh memberi ancaman besar.
Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah, berkata pada tahun lalu sebanyak 40 operasi dijalankan membabitkan 67 premis disita di Kelantan, selain ada antara premis dikenakan tindakan berulang.
Katanya, sepanjang tahun ini sebanyak 16 premis disita hasil 10 operasi yang dijalankan pihak berkuasa di seluruh Kelantan.
“Apa yang dapat kita perhatikan, majoriti pengusaha vape berani membuka semua jualan rokok elektronik walaupun sudah disita, berkemungkinan besar kerana modal permulaan untuk perniagaan vape yang murah.
“Pelbagai agensi penguatkuasa turut bekerjasama dalam mengekang jualan vape seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Nik Bahrum Nik Abdullah (PAS-Chempaka) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Hilmi berkata, kerajaan negeri menyedari risiko yang lebih besar membabitkan penjualan vape termasuk bahan sintetik, alat pemanas tidak selamat dan pengguna bawah umur.
“Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang akan dikuatkuasakan sepenuhnya mulai Oktober ini juga diharap dapat diperketatkan penguatkuasaan.
“Setakat ini, negeri ini bersama Johor antara yang kekal tidak meluluskan sebarang lesen kepada premis jualan vape,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Kerajaan negeri boleh mengambil tindakan mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape yang kini menjurus kepada penyalahgunaan dadah sintetik baharu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




