KOTA BHARU: Ketua jurulatih Kelantan United (KUFC), Akira Higashiyama berkata beliau memiliki ‘resipi’ terbaik untuk melayan kunjungan Kuching City FC pada saingan Liga Perdana di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam esok.
Beliau yang sebelum ini pernah mengendali skuad dari Sarawak itu musim lalu ternyata mempunyai kelebihan kerana mengenali corak permainan pemain dalam pasukan lawan itu.
“Saya pernah bersama Kuching City FC dan mengetahui corak permainan pemain dalam pasukan itu. Mereka mempunyai beberapa pemain berkualiti dan saya tahu kemampuan mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Selepas mengharungi lapan perlawanan, KUFC kini menduduki tangga keempat Liga Perdana dengan mengumpul 13 mata menerusi empat kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan.
Akira tidak menolak kemungkinan Kuching City FC bakal tampil berbeza kerana sudah memiliki barisan kejurulatihan baharu selepas pemergiannya, namun tetap yakin pasukan bimbingannya mampu memberikan cabaran pada pertembungan kedua-dua pasukan itu nanti.
Katanya, KUFC sangat memerlukan tiga mata bagi memberikan cabaran kepada tiga lagi pasukan teratas liga iaitu JDT II, Sarawak United dan Negeri Sembilan.
“Kemenangan tiga mata adalah penting untuk pasukan kami dan saya harap para pemain dapat memenangi perlawanan esok,” katanya.
– BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd




