Kelantan United tumbang di Kota Bharu

Kelantan United tumbang di Kota Bharu

sukanteam@nstp.com.my

Kota Bharu: Kelantan United Football Club (KUFC) terus dirundung malang apabila tewas 1-3 kepada Kuala Lumpur City FC dalam aksi saingan Liga Super 2023, malam tadi.

Terdahulu, KUFC bermula garang apabila import, Jose Elmer Porteria hampir menjaringkan gol pertama namun ditepis penjaga gol KL City, Muhammad Azri Ab Ghani minit ke 11.

Enam minit kemudian, pelawat bangkit membuat asakan dan berjaya merobek gol lawan menerusi T. Saravanan. Minit ke 23, import KL City ,Sean Gean Gianelli terus menambah derita tuan rumah apabila mencetak gol kedua.

Bagaimanapun, anak buah Bojan Hodak membuat kesilapan apabila mengasari Mohamad Fandi Othman yang memberi kelebihan penalti buat KUFC.

Sepakan penalti mudah disempurnakan Devid De Santana Silva bagi merapatkan kedudukan di minit ke 33. Memasuki babak kedua, pemain bermain dalam keadaan padang becak dan hujan lebat dengan asakan Romel Oswaldo Morales Ramirez minit ke 49 namun berjaya ditampan penjaga gol KUFC, Ahmad Asyraaf Omar.

Minit ke 63, situasi padang sedikit tegang apabila berlaku insiden tolak menolak antara pemain KL City,Romel Oswaldo dan Yan Victor daripada KUFC namun ditenangkan rakan sepasukan.

Muhammad Aqil Hilman Danial Roslan hampir menyamakan kedudukan KUFC minit ke 90 namun bola tersasar ke tepi gawang.

Penalti pemain gantian, Paulo Josue Sturmer Dos Reis mengecewakan 224 penonton di Stadium Sultan Muhammad ke IV,Kota Bharu apabila mencetak gol ketiga pelawat pada minit tambahan.

Keputusan kekal 1-3 hingga tamat wisel menyaksikan KUFC terus gagal meraih kemenangan musim ini dengan kekal di tangga tercorot dengan keputusan dua seri, sembilan kalah dalam 11 perlawanan musim ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd