Kelantan zahir penghargaan kerajaan lulus peruntukan baiki cerun di Tanah Merah

Kelantan zahir penghargaan kerajaan lulus peruntukan baiki cerun di Tanah Merah

Kota Bharu: Kelantan menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan susulan kelulusan peruntukan bernilai RM6.6 juta bagi membaik pulih cerun runtuh di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Remah, Tanah Merah.

Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, insiden itu berlaku pada 26 November tahun lalu akibat hujan lebat sehingga menyebabkan berlaku pergerakan tanah sepanjang 130 meter dan mengakibatkan kerosakan struktur cerucuk keping di LRA berkenaan.

Beliau berkata, antara kerosakan lain yang terjejas termasuk paip air mentah dan terawat pecah serta mengancam bangunan penting seperti bilik klorin, tangki bahan kimia dan sub stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Kerajaan Kelantan sekali lagi membuktikan komitmen terhadap kebajikan rakyat apabila bertindak pantas mengemukakan permohonan kepada kerajaan Persekutuan bagi menangani insiden cerun runtuh di LRA Bukit Remah, Tanah Merah.

“Menerusi insiden itu kerajaan negeri meluluskan peruntukan keseluruhan berjumlah RM235,000 bagi pelaksanaan dua kajian oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), iaitu Kajian Siasatan Tanah (Sl) dan Kajian Ukur Terperinci di tapak LRA berkenaan,” katanya di Facebook, semalam..

Kerajaan Kelantan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap kelulusan yang amat bermakna buat rakyat itu sekali gus bagi memastikan masalah berkenaan dapat diatasi segera.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top