Kelawar kurangkan kebergantungan kepada racun perosak

Kelawar kurangkan kebergantungan kepada racun perosak

nurul_husna@hmetro.com.my

SEKURITI makanan bukan sekadar memastikan bekalan makanan negara mencukupi, malah merangkumi aspek keselamatan dan kualiti makanan yang dihasilkan.

Sumber makanan melalui hasil pertanian perlu dijamin berkhasiat dan selamat untuk diakses rakyat. Sehubungan itu, penyelidikan yang mengurangkan kebergantungan kepada racun perosak semakin penting bagi meningkatkan mutu produk pertanian.

Menariknya, Pengarah Pusat Asasi Sains Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga Pakar Ekologi dan Pengurusan Hidupan Liar, Prof Madya Dr Marina Mohd Top @ Mohd Tah, bersama penuntut doktor falsafah Jabatan Biologi, Fakulti Sains UPM, Vilashini a/p Ramesh, menjalankan kajian hubungan antara tabiat pemakanan dan status pembiakan kelawar pemakan serangga di kawasan agroekosistem yang berkait rapat dengan isu ini.

Malaysia yang memiliki 143 spesies kelawar termasuk dua kumpulan utama kelawar, iaitu kelawar ‘fitofagus’ (pemakan buah dan nektar) dan kelawar ‘insektivor’ (pemakan serangga), menunjukkan potensi besar dalam menyokong pertanian tempatan.

Menurut Dr Marina, kelawar berperanan penting mengekalkan keseimbangan semula jadi ekosistem pertanian.

“Selain mengawal populasi serangga perosak, kelawar juga ejen pendebungaan aktif untuk pokok buah-buahan tertentu, sekali gus meningkatkan hasil tanaman,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan petani masih bergantung kepada racun serangga kimia bagi mengawal perosak, namun penggunaannya boleh menjejaskan kesihatan manusia dan alam sekitar.

“Dengan kehadiran kelawar pemakan serangga, petani boleh mengurangkan kebergantungan terhadap bahan kimia, sekali gus melindungi hasil tanaman,” katanya.

Tambah Dr Marina, antara spesies penting ialah kelawar dagu hitam (Taphozous Melanopogon), kelawar buluh besar (Tylonycteris Malayana) dan kelawar rumah (Scotophilus Kuhlii), yang memakan serangga perosak daripada order ‘Lepidoptera’, ‘Coleoptera’, ‘Hemiptera’ dan ‘Hymenoptera’.

Diet kelawar pemakan serangga ini dilihat membantu melindungi tanaman seperti jagung, padi, sayuran daun, kelapa sawit serta kawasan ternakan lembu dan kambing.

Keberkesanan kelawar sebagai ejen kawalan serangga turut dibuktikan melalui kajian di Thailand.

“Spesies kelawar ‘Tadarida Plicata’ misalnya, mampu mencegah kerugian padi dianggarkan 2,900 tan setahun,bersamaan nilai ekonomi melebihi AS$1.2 juta (kira-kira RM5.05 juta) atau hidangan nasi untuk hampir 26,200 orang,” katanya.

Kajian sama turut mengesan bena putih dalam diet Tadarida Plicata dan bena perang dalam diet Chaerephon Plicatus.

Selain itu, kelawar pemakan nektar berperanan penting dalam pendebungaan pokok buah-buahan tertentu.

“Kelawar seperti cecadu gua (Eonycteris spelaea) menghisap nektar bunga pokok durian dan petai yang mekar pada waktu malam, sekali gus membantu pendebungaan silang dan meningkatkan hasil buah terutama durian yang sememangnya menjadi kegilaan ramai di Malaysia” jelasnya.

Dr Marina menyarankan petani merancang landskap ladang yang mesra kelawar.

“Kekalkan pokok besar berhampiran ladang sebagai habitat semula jadi kelawar. Ambil juga inisiatif untuk menanam tumbuhan buluh seperti buluh betong (Dendrocalamus asper) sebagai habitat untuk kelawar buluh (Tylonycteris Malayana).

“Pilihan lain, boleh juga sediakan kotak kelawar sebagai habitat alternatif. Pastikan juga wujud sumber air bersih seperti kolam buatan atau tasik bagi menyokong kelangsungan hidup kelawar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top