am@hmetro.com.my
Shah Alam: Kelemahan dalam penyampaian maklumat oleh sebilangan kecil subkontraktor menyebabkan notifikasi saman tidak sampai dalam tempoh ditetapkan antara punca KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) mencatatkan jumlah saman tertunggak tertinggi.
KDEBWM dalam kenyataannya mengakui kelemahan tersebut dan sebaik sahaja menerima notifikasi rasmi, mereka mengambil tindakan segera dan membuat semakan dalaman.
Menurutnya sehingga kini sebanyak 13,000 saman berjaya diselesaikan.
“KDEBWM sebagai syarikat yang menguruskan pengendalian sisa pepejal dan pembersihan awam terbesar di Malaysia, mengoperasikan lebih 1,500 kenderaan, termasuk lori kompaktor dan ‘Roll-on Roll-off’ (RoRo), di Selangor.
“Operasi dijalankan setiap hari tanpa henti, termasuk hujung minggu dan cuti umum, bagi memastikan tahap kebersihan dan perkhidmatan terbaik untuk rakyat.
“Dalam konteks skala operasi yang besar ini, sebarang statistik berkaitan jumlah saman perlulah diteliti secara holistik.
“Sebagai contoh, dua saman bagi satu lori sehari boleh menjana hampir 3,000 saman dalam sebulan dan melebihi 9,000 saman dalam tempoh tiga bulan jika melibatkan ratusan kenderaan aktif setiap hari,” kata kenyataan itu hari ini.
KDEBWM berkata subkontraktor yang dilantik juga perlu bertanggungjawab terhadap sebarang saman yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap pemandu mereka.
“Majoriti kenderaan dikendalikan oleh syarikat subkontraktor yang dilantik secara rasmi dan sah.
“Mengikut kontrak, setiap subkontraktor bertanggungjawab terhadap sebarang saman yang dikeluarkan terhadap kenderaan atau pemandu di bawah kendalian mereka.
“Bagaimanapun, kami mengakui berlaku kelemahan dalam penyampaian maklumat oleh sebilangan kecil subkontraktor, yang menyebabkan notifikasi saman tidak sampai kepada pihak kami dalam tempoh yang ditetapkan.
“Menurut prosedur JPJ, sekiranya saman tidak dijelaskan dalam masa tiga bulan, notis akan dikeluarkan kepada pemilik berdaftar iaitu KDEBWM, dengan tambahan dua bulan lagi untuk penyelesaian.
Pada masa sama katanya, KDEBWM menghargai peranan dan tanggungjawab JPJ dalam memastikan keselamatan jalan raya.
“Kami juga ingin menyatakan komitmen penuh dalam memperkukuh sistem pemantauan dalaman, memperkemas komunikasi dengan subkontraktor, serta memastikan pematuhan undang-undang jalan raya dilaksanakan secara konsisten dan berintegriti.
“Kami percaya bahawa kerjasama erat antara pihak industri dan penguat kuasa adalah kunci kepada operasi yang lebih cekap, selamat dan mampan.
“KDEBWM akan terus memperbaiki sistem dan proses sedia ada demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan KDEBWM mencatatkan jumlah saman tertinggi pengendali kenderaan barangan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta 333, Akta 334 dan Akta 715 (Akta Pengangkutan Jalan 1987).
© New Straits Times Press (M) Bhd