Kelindan lori didakwa pukul, pijak rakan bapa guna belantan

Kelindan lori didakwa pukul, pijak rakan bapa guna belantan

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Kelindan lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memukul rakan ayahnya menggunakan belantan serta memijaknya kerana didakwa mengganggu ibunya.

Tertuduh, Mohan Raj Sri Rajesh, 24, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap lelaki berusia 59 tahun menggunakan belantan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan di hadapan sebuah kedai alat ganti kenderaan di Taman Mewah, Yong Peng, dekat sini pada 11.30 pagi, 10 Januari lalu.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selepas mendengar rayuan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, mahkamah juga mengenakan syarat tambahan yang mana tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan kes disebut semula 12 Februari ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top