am@hmetro.com.my
Ipoh: Sebuah kereta peronda polis yang sedang dalam tugasan iringan (eskot) kenderaan polis yang membawa tahanan, rosak akibat dilanggar sebuah kereta dalam kejadian di sebuah kawasan persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Azlan Shah, di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata insiden sekitar jam 8.05 pagi kelmarin turut mengakibatkan anggota polis berpangkat Koperal yang memandu kereta peronda polis jenis Honda Civic 1.5L E (Spanco) berkenaan cedera ringan apabila luka lengan kiri.
Katanya, insiden menyebabkan kereta peronda terbabit mengalami kerosakan teruk di bahagian depan, serta di bahagian beg udara (airbag) depan kiri dan kanan.
“Manakala kereta Perodua Kelisa yang melanggarnya mengalami kerosakan bumper hadapan kiri, lampu depan kiri, rim kiri, fender, dan pintu hadapan kiri.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa kereta peronda berkenaan dari Lokap Balai Polis Menglembu menghala ke Lokap Balai Polis Kg Rapat melalui Jalan Sultan Nazrin Shah,” katanya.
Abang Zainal berkata, apabila menghampiri dan sampai di persimpangan lampu isyarat persimpangan Jalan Sultan Azlan Shah, kereta peronda itu sedang dalam mod siren dibunyikan dengan pemandunya turut mengangkat isyarat tangan bagi menghentikan kenderaan di persimpangan kiri.
“Tba-tiba dari persimpangan kiri Perodua Kelisa dipandu seorang lelaki berumur 34 tahun yang tidak berhenti di persimpangan dan kemudiannya melanggar bahagian sisi depan kereta polis terbabit.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa kereta polis dari Lokap Balai Polis Menglembu menghala ke Lokap Balai Polis Kg Rapat melalui Jalan Sultan Nazrin Shahdalam tugasan eskot tahanan.
“Apabila sampai di persimpangan lampu isyarat ia menghampiri persimpangan Jalan Sultan Azlan Shah di sebelah kiri dengan mengangkat isyarat tangan dalam keadaan siren dibunyikan untuk menghentikan kenderaan di persimpangan kiri,” katanya ketika dihubungi malam tadi.
Menurutnya, ketika kejadian terdapat dua anggota polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh berada di dalam kereta peronda terbabit, yang mana satu lagi anggota tidak mengalami kecederaan, sementara pemandu Perodua Kelisa juga turut tidak cedera.
Beliau berkata, kemalangan didapati berpunca apabila Perodua Kelisa berkenaan tidak berhenti bagi memberi laluan kepada kenderaan polis yang dalam keadaan siren dibunyikan terbabit.
Abang Zainal Abidin berkata, tiada tangkapan dibuat, namun siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video kamera papan pemuka kenderaan (dashcam) berdurasi 9 saat memaparkan detik insiden berkenaan.
Menerusi video berkenaan, kelihatan kereta peronda polis sedang melepasi persimpangan jalan di Jalan Sultan Azlan Shah, sambil membunyikan sirennya namun sebaik sahaja kereta peronda berkenaan melintas di hadapan kenderaan pemilik ‘dashcam’, secara tiba-tiba datang sebuah kereta Kelisa memecut laju di sebelah kiri kenderaan pemilik ‘dashcam’.
Tindakan Perodua Kelisa itu menyebabkan berlaku rempuhan dan pelanggaran dengan bahagian hadapan MPV polis berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd