Keluarga Altantuya bawa cabaran saman sivil ke Mahkamah Persekutuan

Keluarga Altantuya bawa cabaran saman sivil ke Mahkamah Persekutuan

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Keluarga Altantuya Shaariibuu, membawa beberapa persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan susulan keputusan Mahkamah Rayuan dalam saman sivil mereka.

Antara persoalan yang dikemukakan ialah skop liabiliti vikarius kerajaan apabila tindakan ejen negara mengakibatkan pelucutan nyawa secara tidak sah serta kerangka perundangan berhubung ganti rugi dalam tuntutan sivil yang berpunca daripada pembunuhan tidak sah.

Peguam Sangeet Kaur Deo, yang mewakili keluarga Altantuya, mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 20 Januari lalu, mahkamah rayuan mengetepikan anugerah global RM5 juta sebagai ganti rugi vindikatori yang diputuskan Mahkamah Tinggi, selain membebaskan kerajaan daripada liabiliti terhadap kematian berkenaan.

Sangeet berkata, memandangkan kepentingan awam yang besar dalam isu terbabit, adalah wajar ia dipertimbangkan oleh Mahkamah Persekutuan yang berpeluang memperjelaskan undang-undang dalam perkara berkenaan.

“Mahkamah tertinggi menetapkan 19 Mac depan untuk pengurusan kes,” katanya.

Dalam pada itu, Mahkamah Rayuan dalam keputusannya menyatakan bahawa tuntutan yang timbul akibat kematian adalah tertakluk secara ketat kepada Seksyen 7 Akta Undang-Undang Sivil (CLA) dan mestilah bersifat pampasan.

Mahkamah turut memutuskan kerajaan tidak boleh dipertanggungjawabkan secara liabiliti vikarius kerana pembunuhan itu tidak dilakukan dalam skop tugas oleh Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar yang ketika itu merupakan anggota polis.

Mahkamah berpendapat mahkamah rendah tersilap apabila menganugerahkan RM5 juta sebagai ganti rugi vindikatori kerana Seksyen 7 CLA hanya membenarkan pampasan bagi kerugian kewangan yang dibuktikan oleh tanggungan, termasuk kehilangan sokongan dan perbelanjaan pengebumian.

Keluarga Altantuya memfailkan saman itu pada 2007 terhadap Azilah, Sirul, Abdul Razak dan kerajaan Malaysia.

Pada 16 Disember 2022, hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan bahawa plaintif berjaya membuktikan defendan pertama dan kedua jelas bertanggungjawab menyebabkan kematian tidak sah si mati dan wajar dipertanggungjawabkan.

Beliau turut memutuskan bahawa Abdul Razak menjadi penghubung antara dua bekas anggota polis itu dengan si mati, memandangkan Sirul dan Azilah tidak mengenali Altantuya sebelum malam beliau dibunuh pada 19 Oktober 2006.

Vazeer juga mendapati kerajaan selaku defendan keempat bertanggungjawab secara liabiliti vikarius kerana Sirul dan Azilah adalah pekerjanya pada masa kejadian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top